938 Calon SPM Tenom Terima Sumbangan Alat Tulis, Suntik Semangat Hadapi Peperiksaan

Oleh JOHN TAMBANAN

TENOM: Seramai 938 calon Sijil Pelajaran Malaysia (SPM) 2026 di daerah Tenom menerima sumbangan alat tulis bagi membantu persiapan mereka menghadapi peperiksaan itu.
Menteri Pertanian, Perikanan dan Industri Makanan, Datuk Jamawi Jaafar yang juga Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Melalap berkata, sumbangan itu diharap dapat menyuntik semangat calon selain memberi mesej bahawa usaha mereka mencapai kejayaan mendapat sokongan pelbagai pihak.
Menurutnya, tanggungjawab menyokong kecemerlangan pendidikan bukan hanya terletak pada ibu bapa dan guru, malah masyarakat serta pemimpin turut memainkan peranan penting.
Beliau berkata demikian ketika ditemui selepas Majlis Penyerahan Sumbangan Alat Tulis kepada Calon SPM 2026 Daerah Tenom, di sini, hari ini.
Jamawi berkata, Pejabat Pendidikan Daerah (PPD) Tenom menyasarkan Gred Purata Daerah (GPD) 4.68 bagi peperiksaan SPM tahun ini dan yakin sasaran itu mampu dicapai menerusi komitmen semua pihak, khususnya pengetua serta guru.
Katanya, Tenom juga berpotensi berada dalam kelompok 10 daerah terbaik di Sabah berdasarkan prestasi semasa, sekali gus mengulangi pencapaian pada 2019 apabila pernah menduduki tempat keenam terbaik negeri.
Dalam perkembangan lain, Jamawi berkata kementeriannya terus memperkukuh kerjasama antarabangsa bagi menjamin keterjaminan makanan di Sabah, khususnya bekalan daging yang mencukupi, berkualiti dan memenuhi piawaian halal.
Beliau dijadual mengetuai lawatan ke China bermula esok bagi memeterai empat memorandum persefahaman (MoU) berkaitan pembangunan sektor pertanian, termasuk tanaman, penternakan dan penggunaan teknologi mekanisasi.
Katanya, penggunaan teknologi serta jentera moden penting untuk meningkatkan produktiviti dan menarik lebih ramai golongan muda menceburi sektor pertanian.
Selain itu, beliau dijadual mengadakan lawatan ke Brazil pada November ini bagi meneroka peluang mendapatkan bekalan daging dan ayam pada harga lebih kompetitif.
Bagaimanapun, katanya, usaha memperkukuh industri penternakan tempatan akan terus menjadi keutamaan, manakala bekalan import berperanan sebagai sumber alternatif bagi memenuhi permintaan pengguna.
Beliau menegaskan semua produk import perlu mematuhi piawaian keselamatan makanan, kebersihan, pensijilan halal dan prosedur operasi standard (SOP) yang ditetapkan.
Terdahulu, Jamawi turut merasmikan mural Astaka Tenom sebagai sebahagian usaha menceriakan kawasan awam serta merancakkan aktiviti ekonomi dan pelancongan daerah berkenaan.
Katanya, projek mural ketiga di Tenom itu turut membuka ruang kepada anak muda tempatan untuk menghidupkan kawasan berkenaan menerusi aktiviti berkaitan produk kopi dan tarikan setempat.
Beliau berharap inisiatif itu dapat menarik lebih ramai pelancong, sekali gus mewujudkan peluang ekonomi dan pekerjaan kepada penduduk tempatan.
Jamawi turut menghadiri mesyuarat Jawatankuasa Pelancongan Daerah Tenom sempena persiapan Tahun Melawat Tenom 2027.

SUMBANGAN PENDIDIKAN… Jamawi (tiga dari kanan) menyampaikan sumbangan alat tulis kepada wakil pengetua sekolah bagi membantu persiapan calon SPM 2026 di daerah Tenom.