Oleh JOHN TAMBANAN
KOTA KINABALU: Naib Presiden Parti Liberal Demokratik (LDP), David Ong, membidas sekeras-kerasnya kenyataan Ridhuan Tee yang didakwa mengaitkan sekolah menengah persendirian Cina serta Sijil Peperiksaan Bersepadu (UEC) sebagai “produk komunis”.
Menurutnya, kenyataan tersebut bukan sahaja tidak berasas, malah berpotensi mengelirukan masyarakat serta menjejaskan keharmonian sosial.
Beliau menjelaskan bahawa UEC merupakan peperiksaan yang diambil oleh pelajar di sekolah menengah persendirian Cina di Malaysia dan diiktiraf di peringkat antarabangsa, selain membuka peluang kepada pelajar melanjutkan pengajian ke universiti serta menceburi bidang profesional.
“UEC adalah hasil usaha berdekad-dekad oleh masyarakat dalam memelihara bahasa, budaya dan menyediakan pendidikan berkualiti,” katanya dalam satu kenyataan, hari ini.
David turut menjelaskan bahawa UEC diperkenalkan oleh Dong Zong pada tahun 1975, sebuah badan pendidikan yang sah dan telah lama beroperasi di negara ini.
“Tuduhan sedemikian seolah-olah menggambarkan Dong Zong sebagai sebuah pertubuhan komunis. Adakah ini bermakna Malaysia membenarkan atau menyokong sistem komunis dalam kerangka pendidikannya?
“Implikasi seperti ini bukan sahaja tidak masuk akal, malah merupakan satu penghinaan terhadap institusi yang telah menyumbang secara positif kepada negara selama beberapa dekad,” katanya.
Beliau menegaskan bahawa sekolah menengah persendirian Cina dan UEC merupakan sebahagian penting daripada landskap pendidikan pelbagai aliran di Malaysia, dan dakwaan mengaitkannya dengan komunisme adalah tidak tepat, mengelirukan serta tidak menghormati.
Menurutnya, sebarang ketegangan dalam masyarakat bukan berpunca daripada sistem pendidikan, sebaliknya daripada kenyataan tidak bertanggungjawab yang boleh memecahbelahkan perpaduan.
“Saya mencabar Ridhuan Tee untuk mengemukakan bukti. Di manakah bukti bahawa sekolah menengah persendirian Cina atau UEC menggalakkan fahaman komunisme?
“Membuat dakwaan tanpa asas adalah tidak bertanggungjawab dan boleh menimbulkan salah faham dalam kalangan masyarakat,” katanya.
Sehubungan itu, beliau menggesa semua pihak, khususnya dalam membincangkan isu sensitif, agar lebih berhati-hati dan berpegang kepada fakta, selain tidak mengeluarkan kenyataan yang boleh menjejaskan keharmonian sosial.
David turut menggesa pihak berkuasa supaya meneliti perkara tersebut dan mengambil tindakan sewajarnya mengikut undang-undang.
“Kita perlu mempertahankan maruah sistem pendidikan negara serta menolak sebarang naratif yang boleh memecahbelahkan masyarakat atau mengelirukan orang ramai,” katanya.

Foto: David Ong, Naib Presiden LDP.








