Oleh FARDY BUNGGA
KOTA KINABALU: Polis Diraja Malaysia (PDRM) Sabah mengambil perhatian serius berhubung penganjuran konsert penyanyi antarabangsa Israel Houghton yang dihebahkan bakal berlangsung di Kota Kinabalu pada Oktober depan.
Pesuruhjaya Polis Sabah, Datuk Jauteh Dikun berkata, pihaknya mengambil maklum reaksi dan kegusaran masyarakat susulan hebahan mengenai konsert berkenaan yang tular di media sosial.
Katanya, perkara itu menjadi perhatian kerana nama artis terbabit serta pendirian dan sokongan yang dikaitkan dengannya terhadap Israel menimbulkan sensitiviti dalam kalangan masyarakat ketika ini.
“Berdasarkan kepada siaran dalam media massa berkaitan dengan konsert ini, kita mendapati reaksi yang banyak daripada pihak masyarakat termasuk dua laporan polis kerana dikatakan bahawa penganjuran ini adalah tidak sesuai dilaksanakan.
“Ia memandangkan nama Israel Houghton menyebabkan dia dilihat sebagai sesuatu yang menimbulkan isu sensitiviti dalam kelangan masyarakat,” katanya.
Beliau berkata demikian pada sidang media di Ibu Pejabat Polis Kontijen (IPK) Sabah, di sini, semalam.
Jauteh berkata, setakat ini, polis masih belum mendapat sebarang permohonan untuk penganjuran konsert berkenaan walaupun ia sudah ditularkan di media sosial.
Katanya, kenyataan mengenai konsert berkenaan sudah disiarkan secara meluas dengan memaparkan tarikh, tempat penganjuran dan harga tiket.
“Difahamkan, Kerajaan Negeri juga tidak menerima sebarang permohonan mengenai konsert berkenaan.
Sehubungan itu, Jauteh berkata, siasatan lanjut akan dijalankan bagi mendapatkan maklumat daripada pihak-pihak berkaitan.
Katanya, pihak polis akan terus memantau dan mengambil keterangan daripada pihak tertentu berkaitan konsert ini serta menasihatkan mereka supaya mengambil perhatian serius terhadap sensitiviti masyarakat di negeri ini.

Maklumat penganjuran konsert yang tular di media sosial.





