APCC Tenom pacu nilai tambah pertanian

Jamawi umum fasa baharu pemprosesan hasil pertanian

Oleh JOHN TAMBANAN


TENOM: Kerajaan negeri terus mengorak langkah memperkukuh rantaian nilai sektor pertanian luar bandar apabila Menteri Pertanian, Perikanan dan Industri Makanan, Datuk Jamawi Jaafar, mengadakan lawatan kerja ke Pusat Pengumpulan dan Pembelian Hasil Pertanian (APCC) Tenom, pada Rabu.
Dalam lawatan itu, Jamawi memaklumkan projek Fasa 1 APCC Tenom kini hampir siap dengan kemajuan mencecah 85 peratus, sekali gus dijangka menjadi hab strategik pemasaran hasil pertanian bagi petani dan pekebun di Tenom, Kemabong serta Melalap.
Mengambil pendekatan jangka panjang yang berteras tradisi tani tempatan namun berpandangan ke hadapan, beliau turut mengumumkan perancangan Fasa 2, melibatkan pembinaan kilang pemprosesan hasil pertanian di tapak bersebelahan kemudahan sedia ada, yang disasarkan bermula pada pertengahan tahun ini.
Menurutnya, kemudahan pemprosesan itu akan menukar hasil pertanian yang kurang berkualiti dari segi luaran kepada produk makanan kering dan produk bernilai tambah, selain berfungsi sebagai pusat pengurusan lebihan hasil bagi mengelakkan pembaziran.
“Inisiatif ini bukan sekadar soal pemprosesan, tetapi usaha menyusun semula ekosistem pertanian supaya lebih mampan, berdaya saing dan memberi pulangan lebih baik kepada petani,” katanya.
Beliau turut merakamkan penghargaan kepada Ketua Menteri Sabah, YAB Datuk Seri Panglima Haji Hajiji Haji Noor, atas sokongan dan kelulusan peruntukan bagi menjayakan projek berimpak tinggi itu.
Dalam sesi lawatan berkenaan, Jamawi menerima taklimat operasi daripada Timbalan Pengurus Besar (Operasi) APCC, Andree Funk, serta meninjau kemudahan dan mesin yang akan digunakan.
Beliau juga mengalu-alukan penglibatan aktif pemain industri tempatan, termasuk Persatuan Penanam Buah-buahan Tropika, khususnya dalam aspek cadangan mesin dan peralatan untuk kegunaan bersama.
“Kita menyasarkan sekurang-kurangnya sebuah pusat pengumpulan diwujudkan di setiap kawasan Parlimen sebagai pemangkin ekonomi luar bandar,” jelasnya.
Setakat ini, sebanyak 14 pusat pengumpulan beroperasi di bawah Koperasi Pembangunan Desa (KPD), manakala lebih 10 pusat pengumpulan lain diuruskan oleh Jabatan Pertanian di seluruh negeri.
Dalam perkembangan berkaitan, Jamawi turut menghadiri Mesyuarat Pertama Jawatankuasa Pembangunan Pertanian Daerah Tenom dan menerima penerangan daripada Pegawai Pertanian Kanan Pejabat Pertanian Tenom, Ts. Mohammad Fauzi Abdul Gulam, sebelum melawat tapak padi satelit di daerah itu.
Turut hadir ialah Ketua Daerah DUN Melalap, OKK Tusib Tulas; Pemimpin Pembangunan Masyarakat Melalap, Denesly Justin; Presiden Persatuan Penanam Buah-buahan Tropika Tenom, Gerald Baxter; serta beberapa Kapitan Cina.

TELITI …. Jamawi (tiga dari kanan) meneliti mesin pembersihan buah sambil mendengar penerangan daripada Andree Funk.