Muafakat Sabah: BN-GRS perlu bersatu demi kestabilan menjelang PRU16

Oleh JOHN TAMBANAN


KOTA KINABALU: Mantan Ahli Parlimen Tenom, Datuk Raime Unggi mengetengahkan gagasan ‘Muafakat Sabah’ sebagai pendekatan kerjasama politik antara Barisan Nasional (BN) dan Gabungan Rakyat Sabah (GRS) menjelang Pilihan Raya Umum Ke-16 (PRU16), bagi memperkukuh kestabilan politik serta memastikan agenda pembangunan negeri terus menjadi keutamaan.
Beliau berkata, Muafakat Sabah bukan sekadar kerjasama bagi menghadapi pilihan raya, sebaliknya merupakan usaha membina persefahaman politik yang lebih kukuh demi memastikan pentadbiran negeri kekal stabil dan kepentingan rakyat terus terpelihara.
“Sudah tiba masanya kita melihat politik Sabah dalam kerangka yang lebih besar. Saya mengetengahkan idea Muafakat Sabah kerana percaya BN dan GRS mempunyai asas kerjasama yang boleh diperkukuh demi masa depan negeri ini.
“Pengalaman Pilihan Raya Kecil (PRK) Parlimen Kinabatangan dan Dewan Undangan Negeri (DUN) Lamag sebelum ini menjadi contoh jelas apabila jentera GRS turut membantu calon BN sehingga menyumbang kepada kemenangan besar dalam kedua-dua pilihan raya berkenaan,” katanya.
Raime, yang juga Setiausaha Politik kepada Menteri Pelancongan, Kebudayaan dan Alam Sekitar Sabah, berkata kerjasama antara parti politik amat penting bagi memastikan kestabilan dapat dikekalkan, sekali gus membolehkan pentadbiran berjalan lancar dan agenda pembangunan dilaksanakan secara berterusan.
Menurutnya, Muafakat Sabah juga berpotensi menjadi asas kepada hubungan lebih erat antara Kerajaan Negeri dan Kerajaan Persekutuan, khususnya dalam mempercepat pelaksanaan pembangunan, menangani isu kemudahan asas serta memperjuangkan hak dan kepentingan Sabah seperti termaktub dalam Perjanjian Malaysia 1963 (MA63).
“Muafakat Sabah yang saya ketengahkan bukan sekadar untuk menghadapi PRU16. Matlamat yang lebih besar ialah memastikan Sabah mempunyai kestabilan politik, pentadbiran yang kukuh serta hubungan yang baik dengan Kerajaan Persekutuan.
“Kemenangan dalam pilihan raya hanyalah permulaan. Kestabilan politik, kesinambungan pembangunan dan kesejahteraan rakyat merupakan matlamat sebenar Muafakat Sabah,” tegasnya.

Datuk Raime Unggi.