Tambunan wajar dipertimbang satu Parlimen, dua DUN – Victor

Oleh JOHN TAMBANAN

KOTA KINABALU: Daerah Tambunan wajar diberi pertimbangan serius dalam kajian semula persempadanan kawasan pilihan raya pada masa akan datang, termasuk cadangan diwujudkan satu kawasan Parlimen dengan dua Dewan Undangan Negeri (DUN), kata Penyelaras DUN Tambunan, Dato’ Victor P. Paut.
Beliau berkata cadangan itu perlu dinilai berdasarkan perkembangan penduduk dan jumlah pemilih, selain keluasan kawasan, keadaan geografi serta keperluan perkhidmatan dan perwakilan masyarakat setempat.
“Cadangan ini bukan dibuat tanpa asas. Ia perlu dilihat berdasarkan data terkini Jabatan Perangkaan Malaysia (DOSM), Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR) serta keadaan sebenar di lapangan,” katanya dalam kenyataan di sini, hari ini.
Menurutnya, data DOSM menunjukkan jumlah penduduk Tambunan dianggarkan meningkat daripada 31,600 orang pada 2020 kepada 33,700 orang pada 2025.
Katanya, statistik rasmi SPR sehingga Jun 2025 pula merekodkan P.180 Keningau mempunyai 92,756 pemilih berdaftar, merangkumi Tambunan, Bingkor dan Liawan.
“Angka ini perlu dilihat bersama keadaan geografi Tambunan yang mempunyai penempatan kampung berselerak serta bentuk muka bumi berbukit dan bergunung-ganang, yang memberi cabaran dari segi perhubungan, penyampaian perkhidmatan kerajaan dan akses rakyat kepada wakil mereka,” katanya.
Victor berkata jumlah penduduk dan pemilih bukan satu-satunya faktor yang perlu dipertimbangkan dalam persempadanan, sebaliknya hubungan tempatan, kemudahan pentadbiran serta kesukaran perhubungan dan pengangkutan juga relevan.
Beliau berkata struktur perwakilan Tambunan perlu dinilai semula supaya lebih selaras dengan perkembangan semasa dan membolehkan pembangunan serta penyampaian perkhidmatan dilaksanakan lebih dekat dan berkesan.
“Saya tidak mengatakan pertambahan kerusi perlu dibuat hanya kerana jumlah penduduk meningkat. Sebaliknya, data terkini serta realiti di lapangan perlu menjadi asas penilaian.
“Tambunan tidak seharusnya dilihat berdasarkan jumlah penduduk semata-mata, tetapi juga keluasan kawasan, bentuk muka bumi, taburan penempatan, jumlah pemilih dan keperluan rakyat,” katanya.

Victor P. Paut.