Lelaki Edar Ekstasi Ditahan.

Oleh FARDY BUNGGA


PENAMPANG: Seorang lelaki ditahan polis selepas dikesan menjalankan aktiviti pengedaran dadah jenis ekstasi, di daerah ini, semalam.
Dalam operasi kira-kira jam 12.30 tengah malam itu, lelaki berusia 31 tahun terbabit yang ditahan di sebuah  premis hiburan ditemui membawa 1.06 kilogram ekstasi.
Ketua Polis Daerah Penampang, Superintendan Sammy Newton berkata, suspek ditahan Bahagian Siasatan Jenayah Narkotik Daerah (BSJND) IPD Penampang.
Katanya, hasil siasatan lanjut susulan penahanan suspek membawa kepada penemuan sebuah beg berisi dadah berkenaan.
“Suspek ditahan bersama 31 paket plastik mengandungi serbuk disyaki dadah jenis ekstasi dianggarkan bernilai sebanyak RM20,150.
“Hasil ujian saringan air kencing turut mendapati suspek positif dadah jenis Amphetamine, Methamphetamine dan THC,” katanya dalam kenyataan media.
Menurutnya, suspek kini ditahan reman bagi membantu siasatan lanjut mengikut Seksyen 39B Akta Dadah Berbahaya 1952 dan Seksyen 15(1)(a) akta yang sama.
Sehubungan itu, Sammy menegaskan komitmen IPD Penampang untuk terus mempergiatkan operasi penguatkuasaan bagi membanteras pengedaran dan penyalahgunaan dadah.
Katanya, usaha itu demi menjamim kesejahteraan masyarakat khususnya di daerah Penampang.

Suspek ditahan di sebuah pusat hiburan.

Sebanyak 31 paket serbuk dadah jenis ekstasi dirampas.