Oleh JAMES LEONG
TAWAU: Polis menahan seorang lelaki warga asing berusia lingkungan 20-an dan menemui semula sebuah motosikal yang dilaporkan hilang dalam rondaan pencegahan jenayah di Jalan Kausing Baru, di sini, pada 16 November.
Ketua Polis Daerah Tawau, ACP Rosdi Mat Jusoh berkata, penahanan itu dilakukan oleh Pasukan Strike Team dari Balai Polis Tawau kira-kira jam 2.30 petang hasil maklumat yang diterima ketika rondaan dijalankan.
Menurutnya, suspek ditahan ketika sedang duduk di atas motosikal berkenaan di hadapan sebuah rumah.
Pemeriksaan lanjut mendapati motosikal itu merupakan kenderaan curi berdasarkan nombor casis yang direkodkan dalam sistem Mobile Card Acceptance Device (MCAD).
Motosikal berkenaan dilaporkan hilang oleh seorang wanita tempatan berusia 22 tahun pada 15 Oktober lalu. Kenderaan itu milik abang iparnya dan kali terakhir diletakkan di bahagian belakang Eastern Plaza kira-kira jam 11.40 malam pada 14 Oktober.
Pemeriksaan lanjut turut mendapati suspek mempunyai rekod jenayah lampau berkaitan penyalahgunaan dadah.
Suspek bersama motosikal yang ditemukan semula dibawa ke Balai Polis Tawau untuk siasatan lanjut.
Kes berkenaan disiasat mengikut Seksyen 379A Kanun Keseksaan kerana kesalahan mencuri kenderaan bermotor.
Rosdi menegaskan tindakan tegas akan diambil terhadap mana-mana individu yang terbabit dalam kegiatan mencuri kenderaan atau memiliki kenderaan curi.
Beliau turut menasihatkan orang ramai supaya sentiasa mengambil langkah berjaga-jaga ketika meletakkan kenderaan masing-masing serta segera membuat laporan polis sekiranya berlaku kecurian.
Orang ramai yang mempunyai maklumat berkaitan aktiviti jenayah diminta menghubungi pihak Polis Tawau atau balai polis berhampiran.

TAHAN …. Anggota polis Tawau menahan suspek (dua dari kiri) dan merampas motosikal berkenaan pada 16 November.







