15 kenderaan LOV perkukuh keupayaan JBPM

KOTA KINABALU: Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia (JBPM) Sabah menerima sebanyak 15 unit Light Operation Vehicle (LOV) pacuan empat roda bagi meningkatkan keupayaan dan kesiapsiagaan operasi kecemasan di seluruh negeri.
Kesemua kenderaan tersebut akan ditempatkan di beberapa Balai Bomba dan Penyelamat (BBP) di seluruh Sabah mengikut keperluan serta tuntutan operasi di kawasan masing-masing.
Timbalan Pengarah JBPM Sabah, Penolong Pesuruhjaya Bomba Lizalman Abu berkata, kenderaan berkenaan direka bagi menyokong pelbagai tugasan kecemasan, rondaan dan logisti serta tugasan sokongan di kawasan bandar dan luar bandar.
Katanya, penambahan aset berkenaan turut meningkatkan keupayaan respons pasukan bomba dalam menghadapi pelbagai cabaran operasi di negeri ini.
“Aset ini juga dapat membantu operasi ketika berdepan situasi bencana dan kawasan yang mempunyai bentuk muka bumi mencabar.
“Penerimaan 15 unit LOV ini menjadi langkah penting dalam memperkukuh kesiapsiagaan dan mobiliti JBPM Sabah,” katanya. 
Beliau berkata demikian pada majlis penyerahan dan agihan aset di Ibu Pejabat JBPM Sabah, di sini, semalam.
Menurutnya, keluasan geografi Sabah serta keadaan bentuk muka bumi yang pelbagai memerlukan aset bersesuaian bagi memastikan pergerakan pasukan di lapangan dapat dilaksanakan dengan lebih berkesan.
“JBPM merakamkan penghargaan kepada Kerajaan Malaysia atas kelulusan keperluan LOV bagi memperkasakan kesiapsiagaan serta keupayaan operasi jabatan, khususnya di Sabah,” katanya.

SERAH …. Lizalman mengagihkan replika kunci sebagai simbolik pengagihan 15 unit LOV di BBP seluruh Sabah.

LOV …. Semua 15 kenderaan berkenaan mampu memperkukuh keupayaan JBPM.