JCI Intan terus perkasa kepimpinan wanita, golongan muda

KOTA KINABALU: Junior Chamber International (JCI) Intan terus memperkukuh pembangunan kepimpinan wanita dan golongan muda menerusi pelbagai program latihan, pembangunan diri serta aktiviti kemasyarakatan.
Pengerusi Penganjur Sambutan Jubli Emas Ke-50 JCI Intan, Chai Moi Len berkata, organisasi itu kini memberi tumpuan kepada golongan berusia 18 hingga 40 tahun bagi membantu mereka membina keyakinan diri, kemahiran komunikasi dan kepimpinan.
“Kami berbangga kerana telah melahirkan ramai wanita hebat dan berwibawa yang kini berjaya dalam kerjaya masing-masing serta aktif menyumbang kepada masyarakat.
“Antara aktiviti kami termasuk latihan pengendalian mesyuarat, pengurusan masa dan pembangunan diri yang dapat membantu ahli dalam kehidupan serta kerjaya,” katanya.
Beliau berkata demikian ketika ditemui media selepas mengadakan kunjungan hormat kepada Yang di-Pertua Negeri Sabah, Tun Musa Aman di Istana Seri Kinabalu, pada Rabu.
Chai berkata kunjungan itu turut bertujuan menjemput Tun Musa menghadiri Sambutan Jubli Emas Ke-50 JCI Intan yang dijadual berlangsung pada 18 September ini.
Katanya, sambutan berkenaan akan menampilkan perkongsian daripada bekas presiden JCI Intan mengenai pengalaman serta manfaat yang diperoleh sepanjang penglibatan mereka dalam organisasi itu, termasuk sumbangannya terhadap perkembangan kerjaya.
Menurutnya, sepanjang 50 tahun penubuhannya, JCI Intan dianggarkan mempunyai sekitar 1,000 ahli.
Beliau berkata sistem kepimpinan organisasi itu memberi peluang kepada ahli menggalas portfolio berbeza dan tidak memegang jawatan sama sebanyak dua kali.
“Pendekatan ini membolehkan lebih ramai ahli mendapat pengalaman memimpin, mengurus organisasi dan membangunkan keupayaan diri melalui tanggungjawab yang berbeza.
“Kami mahu membantu golongan muda membangunkan diri terlebih dahulu sebelum mereka mampu memberi manfaat kepada orang lain,” katanya.

Chai (tiga dari kanan) menyampaikan cenderamata kepada Tun Musa (tengah) pada kunjungan hormat JCI Intan di Istana Seri Kinabalu, Kota Kinabalu.