Oleh FARDY BUNGGA
KOTA KINABALU: Kementerian Pertanian, Perikanan dan Industri Makanan Sabah (MAFFI) terus memperkukuh sektor penternakan negeri menerusi pelaksanaan program integrasi ternakan ladang kelapa sawit.
Ia dilaksanakan menerusi pembelian 780 ekor lembu pedaging, 395 ekor lembu tenusu dan 800 ekor kambing yang bernilai lebih RM10 juta bagi menyokong pelaksanaan program berkenaan.
Menterinya, Datuk Jamawi Jaafar berkata, sebanyak 750 ekor lembu betina dan 30 ekor lembu jantan dibawa daripada Darwin, Australia manakala selebihnya iaitu lembu tenusu dan kambing pula dibeli dari Melbourne dan Brisbane, Australia.
“Program ini bertujuan membantu penternak yang mempunyai ladang kelapa sawit menambah pendapatan melalui aktiviti penternakan lembu secara integrasi.
“Semua penternak terlibat juga telah mengikuti kursus yang dilaksanakan Jabatan Perkhidmatan Veterinar Sabah dan bersedia untuk mengusahakan ternakan masing-masing,” katanya.
Beliau berkata demikian pada sidang media selepas meninjau kapal pengangkut laut yang membawa semua haiwan ternakan di Pelabuhan Sabah, di sini.
Jamawi berkata, baka Brahman Cross dikenal pasti sesuai untuk dikembangkan di Sabah kerana mempunyai ciri yang bersesuaian dengan keadaan cuaca panas dan lembap sepanjang tahun.
Katanya, penggunaan baka berkualiti diharap dapat meningkatkan produktiviti penternakan berbanding penggunaan baka tempatan yang mungkin mengambil masa lebih lama untuk membiak.
“Kerajaan Negeri akan memperkenalkan mekanisme bon bagi memastikan ternakan yang dibekalkan dijaga dengan baik dan tidak dijual dalam tempoh tiga tahun.
“Bon berkenaan boleh dilucutkan sekiranya ternakan mati akibat kecuaian penternak atau dijual sebelum tempoh yang ditetapkan, selain boleh menjejaskan kelayakan mereka untuk menerima bantuan kerajaan pada masa hadapan,” katanya.
Menurutnya, pendekatan itu bertujuan memastikan program pembiakan baka berkualiti dapat diteruskan sehingga beberapa generasi bagi membolehkan manfaatnya dinikmati dalam jangka panjang.

Jamawi menunjukkan bahan makanan untuk ternakan Lembu Brahman Cross yang mempunyai kesesuaian dengan cuaca di negeri ini.

Kapal pengangkut yang membawa semua haiwan ternakan berkenaan dari Australia tiba di Pelabuhan Sabah.

Kapal pengangkut yang membawa semua haiwan ternakan berkenaan dari Australia tiba di Pelabuhan Sabah.








