Kerajaan Sabah Benarkan Keluar Berdua.

Fardy Bungga

asiatimesrp@hotmail.com

  1. KOTA KINABALU: Kerajaan Sabah, hari ini, mengeluarkan kebenaran setiap ketua keluarga untuk membawa teman serumah keluar membeli barangan makanan dan perubatan.

Setiausaha Kerajaan Negeri, Datuk Safar Untong berkata, arahan itu dikeluarkan hanya bagi tujuan mendapatkan bekalan penjagaan kesihatan dan makanan atau perubatan.

Katanya, kebenaran itu bagaimanapun diberikan dengan syarat seseorang yang menemani itu hendaklah mereka yang tinggal serumah.

“Selaras dengan Peraturan-Peraturan Pencegahan Dan Pengawalan Penyakit Berjangkit (Langkah-Langkah Di Dalam Kawasan Tempat Jangkitan) (No. 4) 2020, seseorang itu adalah dibenarkan untuk ditemani oleh seorang untuk keluar bagi mendapatkan atau membeli barangan keperluan seperti makanan, perubatan dan apa-apa keperluan, dengan syarat orang yang menemani itu hendaklah yang tinggal serumah dengannya.

“Sehubungan dengan itu, untuk barangan penjagaan kesihatan dan perubatan, seseorang itu boleh ditemani oleh mana-mana orang lain yang semunasabahnya perlu,” katanya dalam kenyataan media yang dikeluarkan, hari ini.

Safar berkata, ia bererti seseorang itu boleh ditemani oleh seorang dalam kenderaan semasa keluar namun tertakluk kepada penerangan seperti di atas.

tamat