
Fardy Bungga
asiatimesrp@hotmail.com
LABUAN: Seorang peniaga terpaksa berputih mata apabila mengalami kerugian RM130,130 selepas diperdaya sindiket Macau Scam yang menyamar sebagai penjawat awam.
Dalam kejadian 30 April lalu, mangsa yang berusia 30 tahun dihubungi oleh dua lelaki yang mendakwa sebagai pegawai polis dan mahkamah.
Mangsa diberitahu akaun miliknya sedang disiasat kerana terbabit dalam aktiviti pengubahan wang haram selain mempunyai saman berkaitan sebuah akauan bank.
Ketua Polis Daerah Labuan, Superintendan Muhamad Farid Ahmad berkata, suspek yang menyamar sebagai penjawat awam itu kemudiannya memaklumkan perlu membuat pemeriksaan jumlah wang yang ada di dalam semua akaun bank mangsa.
Katanya, suspek turut meminta nombor akaun, nombor kad bank dan pelbagai maklumat sulit perbankan mangsa.
“Mangsa yang terperdaya kemudiannya membuat pemindahan wang ke lima akaun yang diberikan atas nama yang berlainan.
“Mangsa memberitahu dipaksa untuk membuat 19 transaksi pemindahan wang sehingga mencecah nilai RM130,130,” katanya ketika dihubungi, hari ini.
Muhamad Farid berkata, mangsa yang menyedari tertipi kemudian tampil ke Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Labuan untuk membuat laporan, 1 Mei lalu.
“Kes itu disiasat mengikut Seksyen 420 Kanun Keseksaan kerana menipu dan boleh dihukum penjara maksimum 10 tahun dan sebat serta denda jika sabit kesalahan,”katanya.
Sehubungan itu, Muhamad Farid menasihati orang ramai supaya tidak panik apabila menerima panggilan telefon daripada orang yang menyamar sebagai agensi penguatkuasaan.
“Kita menasihatkan orang ramai supaya sentiasa berwaspada dan tidak mudah terpedaya dengan muslihat serta tipu helah sindiket Macau Scam.
“Orang ramai juga boleh meminta nasihat di balai polis terdekat jika menerima panggilan yang meragukan sebelum mengambil sebarang tindakan,” katanya.
tamat








