Fardy Bungga
asiatimesrp@hotmail.com
KOTA KINABALU: Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Kota Kinabalu akan mengurangkan jumlah sekatan jalan dalam Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) fasa empat ini.
Ketua Polis Daerah Kota Kinabalu Asisten Komisioner Habibi Majinji berkata, pihaknya memutuskan sekatan jalan dikurang daripada enam kepada empat bermula jam 4 petang, hari ini.
Katanya, tindakan itu bagi menumpukan kepada pemantauan secara rapi di sekitar daerah ini.
“Kita menjalankan penugasan berpandukan dasar yang dikeluarkan oleh Kerajaan negeri iaitu melaksanakan penugasan sama dengan pelaksanaan ketika Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) dijalankan.
“Keputusan mengurangkan bilangan SJR daripada enam lokasi kepada empat bertujuan untuk menumpukan kepada operasi rondaan serta pemantauan bagi memastikan tiada penduduk yang akan berkumpul di sesuatu kawasan pada bila-bila masa,” katanya ketika dihubungi, hari ini.
Habibi berkata, kerja-kerja serta operasi rondaan akan dijalankan seperti yang dilaksanakan sebelum ini bersama pihak Dewan Bandaraya Kota Kinabalu (DBKK) termasuk pemeriksaan premis.
“Polis bersama Pihak Berkuasa Tempatan (PBT) akan mengambil tegas terhadap mana-mana premis yang degil sekiranya dikesan sepanjang operasi pemantauan dijalankan.
“Orang awam juga dinasihatkan supaya terus mematuhi dasar Kerajaan negeri yang masih di tahap PKP.
“Sekiranya Perintah Kawalan Pergerakan Bersyarat (PKPB) dilaksanakan di Sabah, masyarakat dinasihatkan untuk mengamalkan cara hidup ketika PKP iaitu mementingkan penjagaan jarak sosial, memakai pelitup muka dan cecair pembasmi kuman serta menjaga kesihatan diri masing-masing,” katanya
tamat







