Warga Asing Ditahan Bersama Barang Curi

Fardy Bungga

asiatimesrp@hotmail.com

Kota Kinabalu: Kecekapan pasukan polis menjalankan siasatan berjaya menahan seorang lelaki warga asing yang dikenalpasti mencuri beberapa barangan di sebuah kilang perabot di Jalan Tuaran, semalam.

Serbuan jam 5 petang itu dijalankan di rumah suspek di Kampung Tobur Manggatal di sini, selepas siasatan mengesahkan pembabitan suspek berusia 50 tahun itu dalam kejadian berkenaan.

Ketua Polis Daerah Kota Kinabalu Asisten Komisioner Habibi Majinji berkata, dalam serbuan itu polis menemui semula lima barangan yang dicuri dari kilang perabot berkenaan.

Katanya, antara yang ditemui semula ialah kipas angin, mesin pemotong aluminium dan kayu, mesin gerudi serta dua mesin pemampat udara di ruang tamu rumah suspek.

“Ketika serbuan dilakukan, pemeriksaan mendapati suspek tidak memiliki sebarang dokumen pengenalan diri.

“Selain itu, hasil soal siasat, suspek mengaku semua barangan yang tersimpan di ruang tamu rumahnya adalah hasil curi,”katanya ketika dihubungi, hari ini.

Habibi berkata, suspek bersama barang rampasan kemudiannya dibawa balik ke Balai Polis Manggatal untuk tindakan lanjut.

“Kes disiasat mengikut Seksyen 457 Kanun Keseksaan,” katanya.

Tamat