Langgar Arahan Kuarantin, Denda RM1,500.

Lelaki berusia 35 tahun itu yang mengaku bersalah turut berdepan hukuman lima bulan penjara sekiranya gagal membayar denda.

Fardy Bungga

asiatimesrp@hotmail.com

KOTA KINABALU: Seorang lelaki yang diarahkan menjalani tahanan kuarantin rumah di Kampung Cenderakasih, di sini, didenda RM1,500 selepas didapati melanggar arahan berkenaan.

Lelaki berusia 35 tahun itu yang mengaku bersalah di hadapan Hakim Mahkamah Majistret, di sini, turut berdepan hukuman lima bulan penjara sekiranya gagal membayar denda.

Dia diarah menjalani kuarantin selepas dipercayai berhubung rapat dengan seorang pesakit Covid-19 namun gagal dikesan selepas itu.

Ketua Polis Daerah Kota Kinabalu Asisten Komisioner Habibi Majinji berkata, lelaki terbabit ditahan pada 28 Mei lalu selepas dipercayai berpindah ke lokasi baharu di Kudat.

Katanya, suspek pada awalnya diperintahkan menjalani arahan kuarantin di Kampung Cenderakasih, di sini, dalam tempoh 8 Mei sehingga 21 Mei.

“Pihak hospital memberitahu ujian saringan Covid-19 pertama yang dijalankan terhadap lelaki itu disahkan negatif namun diarahkan menjalani kuarantin rumah.

“Bagaimanapun, sehari sebelum ujian kedua dijalankan 20 Mei lalu, pihak berkuasa hospital gagal mengesan lelaki terbabit dan satu laporan polis terus dibuat terhadapnya,”katanya dalam kenyataan media yang dikeluarkan, semalam.

Habibi berkata, berdasarkan laporan polis itu, operasi memburu suspek dijalankan hari yang sama.

Namun katanya, lelaki terbabit kemudiannya dipercayai bergerak ke Kampung Inderasan Laut, Kudat, kira-kira 160 kilometer utara negeri Sabah.

Tamat