Enam Maut Dalam Kemalangan Di Jalan Tungku, Lahad Datu.

Fardy Bungga

asiatimesrp@hotmail.com

Lahad Datu: Enam maut membabitkan kemalangan tiga kenderaan di Jalan Tungku berhampiran Kampung Membatu, di sini, pagi tadi.

Dalam kejadian kira-kira jam 8.30 pagi itu, kenderaan yang terbabit dalam kemalangan berkenaan adalah Isuzu Dmax, Proton Saga dan sebuah lori treler.

Difahamkan, selepas kejadian, lori treler berkenaan terjunam ke dalam gaung sedalam 60 kaki manakala dua lagi kenderaan remuk teruk di atas jalan.

Pengarah Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia (JBPM) Sabah Kamarulzaman Malik Abdullah berkata, pihaknya menerima panggilan kecemasan pada jam 8.51 pagi.

Katanya, sebaik tiba di lokasi, semua mangsa masih tersepit di dalam ketiga-tiga kenderaan yang terlibat dalam kemalangan berkenaan.

“Pasukan Bomba terpaksa menjalankan operasi mengeluarkan semua mangsa yang tersepit di dalam kenderaan malang berkenaan.

“Semua enam mangsa yang meninggal dunia adalah pemandu lori, dua mangsa terdiri seorang lelaki dan wanita yang menaiki Isuzu Dmax serta dua lelaki dan seorang wanita yang menaiki Proton Saga,”katanya ketika dihubungi, hari ini.

Kamarulzaman berkata, sebaik enam mangsa disahkan meninggal dunia, semua mayat diserahkan kepada pihak Polis untuk tindakan selanjutnya.

Tamat