Usaha Memburu Sembilan Tahanan PTS Sibuga Masih Diteruskan.

Fardy Bungga

asiatimesrp@hotmail.com

SANDAKAN: Polis daerah ini melancarkan operasi memburu sembilan tahanan lelaki yang melarikan diri dari Pusat Tahanan Sementara (PTS) Sibuga, di sini, awal pagi semalam.

Semua tahanan terbabit dikatakan melarikan diri pada jam 2 pagi ketika hujan lebat dengan merosakkan jeriji tingkap di tandas pusat tahanan berkenaan.

Semua tahanan berkenaan difahamkan membabitkan kes imigresen dan sedang dalam proses pengusiran pulang ke negara mereka di Filipina.

Ketua Polis Daerah Sandakan, Asisten Komisioner Mohd Azhar Hamin berkata, gerakan operasi mengesan semua tahanan yang melarikan diri sudah dilancarkan Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Sandakan.

Katanya, operasi itu dijalankan sebaik pihaknya menerima laporan daripada pihak pengurusan pusat tahanan berkenaan.

“Kes disiasat mengikut Seksyen 223 Kanun Keseksaan (KK) dan Seksyen 224 kanun sama kerana membiarkan seseorang lari dari tahanan serta tentangan terhadap penangkapan yang sah di sisi undang-undang.

“Kedua-duanya membawa hukuman penjara sehingga dua tahun dan denda atau kedua-duanya sekali,” katanya dalam kenyataan medianya yang dikeluarkan, hari ini.

Mohd Azhar berkata, orang ramai yang mempunyai maklumat juga diminta supaya berhubung dengan bilik gerakan IPD Sandakan di talian 089- 212222 atau balai polis berhampiran untuk tindakan segera.

Tamat