
Fardy Bungga
asiatimesrp@hotmail.com
Penampang: Dua Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Parti Pertubuhan Kinabalu Progresif Bersatu (UPKO) mengumumkan keluar parti serta-merta, hari ini.
Dua ADUN yang keluar parti itu adalah ADUN Sugut, Datuk James Ratib dan ADUN Kuala Penyu, Datuk Limus Jury.
Kedua-dua mereka yang juga Naib Presiden dan Ahli Majlis Tertinggi UPKO mengumumkan keluar parti dan melepaskan semua jawatan dalam UPKO untuk menjadi ADUN Bebas.
Limus dalam sidang media berkenaan berkata, keputusannya itu dibuat berikutan beliau sudah hilang kepercayaan terhadap pucuk pimpinan parti yang tidak konsisten dalam perjuangan dan matlamat parti.
Katanya, keputusan itu terpaksa diambil demi kepentingan rakyat di kawasan Kuala Penyu yang masih memerlukan pembangunan dan kemajuan.
“Bagaimanapun, saya masih belum memutuskan akan menyertai mana-mana parti setakat ini dan memilih untuk menjadi ADUN Bebas.
“Keputusan ini adalah pilihan sendiri tanpa ada paksaan atau tekanan daripada mana-mana pihak,” katanya pada sidang media yang diadakan di rumahnya di Jalan Pintas Penampang, di sini, hari ini.

Limus berkata, selepas Pilihanraya Umum Ke-14 (PRU14), UPKO dibawa oleh Presiden Parti untuk menyokong kerajaan persekutuan PH.
Namun katanya, selepas perubahan kerajaan persekutuan, UPKO sudah tidak sehaluan dan merasakan sudah wajar untuk menjadi pembangkang
“Saya amat yakin, kepimpinan YAB Perdana Menteri Tan Sri Muhyiddin Yassin boleh membawa perubahan lanskap politik negara dan negeri Sabah,” Katanya,
Sementara itu, ADUN Sugut, Datuk James Ratib berkata, beliau memilih untuk keluar daripada UPKO dan menjadi ADUN bebas yang bekerjasama dengan Kerajaan Perikatan Nasional.
Katanya, keputusan itu dibuat atas dasar kesedaran dan kerelaannya tanpa sebarang paksaan daripada mana-mana pihak.
“Saya percaya selepas ini akan ada lebih banyak yang meninggalkan parti UPKO dalam masa satu atau dua tiga hari ini.
“Akan lebih ramai akan menyusul dan kami bersama YB Limus, daripada parti UPKO yang memulakan gendang di palu,” katanya.
Tamat






