TIGA ANGGOTA TLDM MAUT KEMALANGAN JALAN RAYA

 

Fardy Bungga

asiatimesrp@hotmail.com

Kota Kinabalu: Tentera Laut Diraja Malaysia (TLDM) mengesahkan tiga anggota maut manakala seorang parah dalam kejadian kemalangan maut di Jalan Ranau-Kota Kinabalu, hari ini.

Kemalangan berkenaan disahkan berlaku pada jam 1 tengah hari ketika semua anggota terbabit dalam perjalanan ke Pangkalan TLDM Kota Kinabalu, Teluk Sepanggar dari Pangkalan TLDM Sandakan bagi melaksanakan tugas rasmi.

Bahagian Komunikasi Strategik Markas Wilayah Laut 2, Pangkalan TLDM Sandakan berkata, kejadian membabitkan kenderaan lori tiga tan milik TLDM yang dipercayai hilang kawalan sebelum terbabas ke bahu jalan.

Katanya, akibat daripada kejadian itu, tiga anggota meninggal dunia manakala seorang lagi anggota mengalami kecederaan dan dihantar ke Hospital Ranau untuk mendapatkan rawatan.

“Punca kemalangan masih dalam siasatan dan mereka yang meninggal dunia ialah Laskar Kanan PAP Maslim Abdul Rahim, Laskar Kelas I TNL Mohamad Firdaus Mat Izan dan Laskar Kelas I TMK Muhammad Arif Idris.

“Manakala mangsa yang cedera Laskar Kelas II TLR Vincent M.Orel,” katanya dalam kenyataan media yang dikeluarkan, hari ini.

Kenyataan itu turut menzahirkan rasa simpati dan ucapan takziah daripada Panglima Tentera Laut kepada ahli keluarga anggota yang terlibat dalam kemalangan berkenaan.

Tamat.