
Fardy Bungga
asiatimesrp@hotmail.com
Kota Kinabalu: Seramai 88 individu positif dadah ditahan dalam operasi Ops Perdana yang dijalankan Agensi Anti Dadah Kebangsaan (AADK) bermula 22 hingga 24 Jun lalu.
Operasi berkenaan dijalankan membabitkan empat daerah antaranya Kota Kinabalu, Tawau, Wilayah Persekutuan Labuan dan Keningau.
Antara kawasan yang diserbu adalah Tanjung Batu, Merotai dan Balung di daerah Tawau, Kampung Luagan, Patikang dan Tuarid Taud di Keningau, Bukit Kuda dan Sungai Bedaun di Labuan serta Likas, Inanam dan Penampang di ibu negeri.

Pengarah AADK Sabah, Abdul Hamediee Ibrahim berkata, operasi selama tiga hari itu dijalankan di kawasan yang sudah dikenalpasti sebagai lokasi aktif penagihan dadah.
Katanya, sepanjang operasi dijalankan, pihaknya terpaksa pelbagai cabaran termasuk tindakan penagih yang bertindak kasar dan cuba meloloskan diri dari ditahan.
“Dalam operasi, ada juga dua ibu yang bergaduh sesama sendiri kerana cuba mempertahankan anak masing-masing dan mendakwa terbabit dalam aktiviti dadah kerana pengaruh rakan.
“Kedua-dua ibu terbabit terpaksa ditenangkan anggota AADK untuk meleraikan pertengkaran antara mereka,” katanya ketika dihubungi, hari ini.

Abdul Hamediee berkata, mereka yang ditahan berusia lingkungan 17 hingga 51 tahun dan akan direman untuk membantu siasatan lanjut.
Katanya, kes disiasat mengikut Seksyen 3(1) Akta Penyalahgunaan Dadah (APD) Rawatan dan Pemulihan (R&P) 1983 kerana disyaki penagih dadah.
Sehubungan itu, Abdul Hamediee berkata, orang awam yang mempunyai maklumat berhubung penyalahgunaan dadah boleh menyalurkan maklumat dengan menghubungi AADK Negeri Sabah di talian 088-243576 atau tampil ke mana-mana pejabat AADK berhampiran untuk tindakan segera.
Tamat







