Lelaki Jatuh Gaung Diselamatkan.

Fardy Bungga

asiatimesrp@hotmail.com

Sandakan: Seorang lelaki yang melakukan aktiviti ‘hiking’ di Jalan Ulu Sibuga POIC, di Taman Mawar, di sini, berjaya diselamatkan Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia (JBPM), semalam.

Dalam kejadian jam 7 malam itu, mangsa yang melakukan aktiviti itu bersama dua lagi ahli keluarganya dipercayai tergelincir sebelum jatuh ke gaung setinggi kira-kira 75 meter.

Bimbang dengan keadaannya, ahli keluarga mangsa terus menghubungi pasukan bomba untuk mendapatkan bantuan segera.

Jurucakap Pusat Gerakan Operasi, JBPM berkata, pihaknya menerima panggilan kecemasan pada jam 7.11 malam dan mengerahkan sepasukan bomba diketuai Penolong Kanan Penguasa Bomba Jimmy Lagung bersama 11 anggota ke lokasi kejadian.

Katanya, operasi penyelamat dilakukan kekuatan logistik sebuah jentera kecemasan Fire Rescue Tender (FRT),sebuah van kecemasan Emergency Medical Rescue Services (ERMS) dan sebuah kenderaan pacuan empat roda pelbagai guna.

“Sebaik tiba di lokasi yang terletak sejauh 15 kilometer dari Balai Bomba Dan Penyelamat (BBP) Sandakan, keadaan mangsa sedarkan diri dan operasi penyelamatan dimulakan.

“Pasukan penyelamat BBP Sandakan seterusnya membuat “sizeup” dan penyelamatan dengan menggunakan sistem “lowering and hauling” bagi menyelamat mangsa yang terjatuh ke dalam gaung sedalam 75 meter,” katanya dalam kenyataan media yang dikeluarkan, hari ini.

Menurutnya, mangsa kemudiannya diberikan rawatan awal oleh pasukan EMRS sebelum dibawa naik ke lokasi selamat.

Katanya, mangsa mengalami kecederaan ringan diserahkan ke pegawai perubatan untuk rawatan awal sebelum dibawa ke Hospital Sandakan untuk rawatan selanjutnya.

Tamat