
Fardy Bungga
asiatimesrp@hotmail.com
KUDAT: Pasukan Polis Marin (PPM) Kudat menahan seorang remaja selepas dipercayai cuba menyeludup minyak petrol dan tong gas ke negara jiran, semalam.
Dalam kejadian itu, remaja berusia 17 tahun terbabit ditahan di perairan Pitas selepas dikesan menggunakan pam bot untuk membawa keluar barang bersubsidi berkenaan.
Pegawai Pemerintah Markas Operasi PPM Kudat, Asisten Superintendan Rizauddin Selamat berkata, remaja berkenaan dikesan dalam operasi Op Gelora Khas yang dijalankan PPM Kudat.
Katanya, pemeriksaan terhadap bot pam remaja berkenaan membawa kepada penemuan 30 tong gas, empat tong drum plastik dan enam gelen yang dipercayai berisi minyak petrol.
“Hasil risikan mendapati, remaja lelaki ini membawa bekalan petrol sedikit demi sedikit dari pekan dan dikumpulkan di sebuah kawasan pondok yang sukar dilalui dan dilihat orang ramai.
“Namun kegiatan remaja ini akhirnya berjaya dikesan oleh polis dan bot yang digunakan untuk memunggah dan membawa minyak petrol tersebut turut dirampas,”katanya dalam kenyataan media yang dikeluarkan, hari ini.
Rizauddin berkata, bot dan semua barang rampasan kemudiannya dibawa ke pangkalan Markas Operasi PPM Kudat untuk tindakan dan siasatan lanjut.
Katanya, nilai keseluruhan hasil daripada tangkapan dan rampasan ini berjumlah keseluruhan kira-kira RM20,640.
“Kes disiasat mengikut Seksyen 21 Akta Kawasan Bekalan 1961 dibaca bersama Peraturan-Peraturan kawalan bekalan.
“Jika sabit kesalahan, pesalah boleh didenda RM1 juta dan penjara tiga tahun untuk perseorangan,” katanya.
Tamat





