PPM RAMPAS SENJATAPI DAN MINUMAN KERAS


Fardy Bungga

asiatimesrp@hotmail.com

Kota Kinabalu: Pasukan Polis Marin (PPM) berjaya mematahkan cubaan menyeludup minuman keras dalam serbuan di kawasan  tebing sungai, Sungai Lubuk Weston, Beaufort, semalam.

Dalam serbuan jam 4.50 pagi itu, sepasukan anggota dan pegawai PPM yang menjalankan operasi khas Op Benteng Covid-19 turut merampas sepucuk pistol revolver Smith & Wesson .38 berserta 13 butir peluru.

Komander Pasukan Polis Marin Wilayah 4 Sabah, Asisten Komisioner Ahmad Ariffin berkata, ketika diserbu, dua lelaki berusia 36 dan 48 tahun ditahan bersama sebuah lori berisi minuman keras.

Katanya, hasil pemeriksaan lanjut ke atas lori berkenaan mendapati terdapat pelbagai jenis minuman keras yang tidak bercukai.

“Semua minuman keras ini dipercayai cuba diseludup masuk dari Wilayah Persekutuan Labuan ke Beaufort.

“Selain itu turut ditemui dan dirampas ialah sepucuk pistol revolver Smith & Wesson .38 berserta 13 butir peluru,” katanya dalam kenyataan media yang dikeluarkan, hari ini.


Ahmad berkata, turut disita sebuah lori dan sebuah kenderaan pacuan empat roda bersama wang tunai berjumlah RM8,759 dan wang tunai Singapura bernilai 100.

Katanya, nilai keseluruhan rampasan dianggarkan berjumlah RM150,492 berdasarkan harga pasaran semasa.

“Kes disiasat mengikut Akta Senjata Api (Penalti lebih berat) 1971 Seksyen 8 dan  Seksyen 135 (1) (d) Akta Kastam 1967,” tegasnya.

Sehubungan itu, Ahmad menyeru orang awam supaya terus membantu dengan menyalurkan maklumat terutama membabitkan jenayah maritim kepada Pasukan Polis Marin untuk tindakan segera.

Katanya, pihak PPM juga amat berterima kasih kepada masyarakat yang sentiasa prihatin agar undang-undang sentiasa dipatuhi.

Tamat