
SANDAKAN: Pasukan Polis Marin (PPM) berjaya mematahkan satu cubaan menyeludup 1,500 telur penyu di kawasan Sungai Batu 3, hari ini.
Dalam kejadian jam 5 pagi itu, semua telur penyu yang dianggarkan bernilai RM2,700 berkenaan dipercayai dibawa masuk untuk dijual di pasaran tempatan.
Pegawai Pemerintah Markas Operasi Pasukan Polis Marin Sandakan, Deputi Superintendan Rusdin Banin berkata, semua telur penyu berkenaan disembunyikan di dalam sebuah ‘pump boat’ di kawasan pantai berkenaan.
Katanya, rampasan berjaya dibuat hasil maklumat risikan dan pemantauan anggota PPM Sandakan.
“Pemeriksaan di kawasan berkenaan membawa kepada penemuan tiga guni berisi telur penyu dipercayai untuk dipasarkan kepada orang awam di sekitar pasar berkenaan.
“Jurugan bot yang membawa telur penyu berkenaaan yang gagal mengelak ditahan polis bertindak melarikan diri selepas bot dinaikinya terkandas,” katanya dalam satu kenyataan media di sini hari ini.
Rusdin berkata, semua rampasan termasuk bot dan enjin pam dibawa ke Markas Operasi PPM Sandakan bagi proses dokumentasi sebelum diserahkan kepada Jabatan Hidupan Liar Sandakan untuk tindakan lanjut.
Tamat






