Kanak-Kanak Lemas Dalam Kolam.


Fardy Bungga

asiatimesrp@hotmail.com

Labuan: Seorang kanak-kanak lelaki maut selepas terjatuh ke dalam kolam di sebuah kebun di Kampung Layang-Layangan, di sini, petang tadi.

Dalam kejadian jam 5 petang itu, mangsa, Mohammad Nazrullah Hazizul Fahmi, 8, dikatakan bermain bersama abangnya di kawasan berkenaan sebelum terjatuh ke dalam kolam.

Kejadian hanya disedari nenek mangsa apabila abangnya yang berusia 10 tahun menjerit meminta pertolongan dari dalam kolam.

Ketua Polis Daerah Labuan Superintendan Muhamad Farid Ahmad berkata, pihaknya menerima maklumat kejadian itu pada jam 5.35 petang dan bergegas ke lokasi kejadian.

Katanya, pihak Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia (JBPM) dimaklumkan sudah berada di tempat kejadian dan membawa kanak-kanak terbabit ke Hospital Labuan.

 

“Pihak polis yang menjalankan siasatan lanjut di hospital mendapati mangsa disahkan meninggal dunia oleh pegawai perubatan dan punca kematian dipercayai akibat lemas.

 

“Siasatan mendapati, mangsa bersama abangnya berada di kebun bersama nenek merek yang mengusahakan kebun berkenaan,” katanya dalam kenyataan media yang dikeluarkan, hari ini.

Muhamad Farid berkata, nenek mangsa yang dikejutkan dengan jeritan kemudiannya berjaya menyelamatkan abang mangsa manakala adiknya dipercayai tenggelam di kolam berkenaan.

Katanya, pihak bomba yang dipanggil membantu berjaya menemui mangsa di dalam kolam sebelum dikejarkan ke hospital untuk tindakan lanjut.

“Setakat ini, tiada unsur jenayah dapat dikesan dan kes disiasat sebagai kes mati mengejut,” katanya.

Tamat