Dua Pesakit Hospital Mesra Bukit Padang Melarikan Diri.

Kota Kinabalu: Dua pesakit yang sedang dirawat di Wad 7, Hospital Mesra Bukit Padang dilaporkan hilang dipercayai melarikan diri, Jumaat lalu.

Dalam kejadian jam 3.45 petang itu, kedua-dua lelaki terbabit dikatakan disedari hilang ketika dikeluarkan ‘domitri’ masing-masing untuk minum petang.

Ketua Polis Daerah Kota Kinabalu Asisten Komisioner Habibi Majinji berkata, kedua-dua pesakit lelaki itu diperintahkan oleh Mahkamah untuk ditempatkan di pusat berkenaan mengikut peruntukkan mengikut Seksyen 348 KPJ (Penjagaan selamat orang yang dibebaskan).

“Perkara itu disedari oleh seorang kakitangan hospital berkenaan ketika pemeriksaan rutin ke atas wad.

“Usaha untuk mengesan dan mencari kedua-dua pesakit terbabit dijalankan di sekitar kawasan hospital namun gagal menemuinya,” katanya dalam kenyataan media, hari ini.

Habibi berkata, siasatan lanjut mendapati kira-kira jam 3 petang, kedua-dua suspek ini dikeluarman dari domitri masing-masing untuk minum petang.

“Kira-kira 15 minit kemudian, kedua-dua suspek didapati tidak berada di meja minum mereka dipercayai melarikan diri melalui pintu besi di sebelah tempat makan lalu memanjat pagar dan melarikan diri menghala Jalan Bantayan.

“Suspek pertama Nurfazzrynn Fazir, 26, adalah pesalah mengikut Seksyen 14 (A) Akta Seksual Kanak-Kanak 2017, dari Penjara Kota Kinabalu dan dimasukan ke Wad Forensik pada 10 Mei 2019 untuk rawatan ‘Mild Intellectual Disability’ atas perintah Mahkamah Kota Kinabalu.

“Suspek kedua Zulhijam Ali, 30, pesalah mengikut Seksyen 302 Kanun Keseksaan dari Tawau dan dirujuk ke Hospital Bukit Padang pada 14 Januari 2019 atas kesalahan mental iaitu ‘Schizophrenia’,” katanya.

Sehubungan itu, Habibi meminta kerjasama orang ramai yang mempunyai sebarang maklumat berkenaan kes ini untuk segera menyalurkan kepada pegawai penyiasat Inspektor Palani Nathan A/L Pathmanathan ditalian 016-4122835 atau Hotline IPD Kota Kinabalu di talian 088-529220 atau ke akaun Facebook IPD Kota Kinabalu.

Tamat