Enam Sekolah Ditutup Terjejas Banjir

KOTA KINABALU: Enam sekolah di tiga daerah ditutup selepas terjejas akibat banjir ekoran hujan lebat yang melanda kebanyakan daerah di negeri ini sejak semalam.

Antara sekolah yang terjejas adalah Sekolah Rendah (SK) Babagon Toki, Inanam, SK Tampasak, SK Kaiduan, SK Pekan Kinarut dan Sekolah Jenis Kebangsaan Cina (SJKC) Kin Kiau Kinarut, Papar dan SK Pintas, Beaufort.

Pengarah Jabatan Pelajaran Negeri Sabah Dr Mistirine Radin berkata, SK Pintas yang menempatkan seramai 174 murid dan 16 guru terpaksa ditutup operasi hari ini.

Katanya, sekolah yang turut menempatkan lapan murid pra sekolah itu ditutup berikutan kawasan dan laluan sekolah dinaiki air.

“SK Babagon Toki di Inanam, turut ditutup disebabkan tanah runtuh di laluan utama dan tidak dapat dilalui sebarang kenderaan.

“Sekolah berkenaan menempatkan seramai 102 murid termasuk 17 murid pra sekolah termasuk 14 guru yang tidak dapat hadir ke sekolah akibat jalan yang terputus,” katanya dalam kenyataan yang dikeluarkan, hari ini.

Dr Mistrine berkata, empat lagi sekolah di daerah Papar turut ditutup berikutan kawasan serta laluan sekolah dinaiki air.

“Mereka yang terjejas bagi keempat-empat sekolah ini membabitkan seramai 174 guru serta 2551 murid dan 124 murid pra sekolah.

“Ini menjadikan jumlah keseluruhan yang terjejas di negeri ini adalah seramai 204 guru, 2796 murid dan 149 murid pra sekolah,” katanya.

Dalam pada itu, Jabatan Meteorologi Malaysia (MetMalaysia) mengeluarkan amaran cuaca hujan lebat yang dijangka berlaku di beberapa tempat di Sarawak dan Sabah.

Difahamkan, Sabah dijangka akan dilanda hujan lebat di beberapa kawasan termasuk pedalaman Kuala Penyu dan Beaufort, Pantai Barat (Papar, Putatan, Penampang, Kota Kinabalu, Tuaran dan Kota Belud) serta Kudat dan Labuan sehingga Rabu ini.

Sementara itu, Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia (JBPM) Sabah melalui Pusat Gerakan Operasi mengesahkan pihaknya belum menerima sebarang laporan atau aduan berkenaan banjir kilat yang melanda beberapa kawasan sekitar.

Jurucakap PGO Sabah ketika dihubungi berkata, JBPM akan sentiasa menjalankan pemantauan dari semasa ke semasa terutama di kawasan yang sering dinaiki banjir.

Tamat