
Labuan: Seorang lelaki berusia 33 tahun ditemui mati di dalam sebuah kenderaan pacuan empat roda, di Jalan Tanjung Kubong, di sini, Isnin lalu.
Dalam insiden jam 6.25 petang itu, kejadian disedari orang awam yang memaklumkan pihak berkuasa selepas mendapati mangsa tidak sedarkan dalam keadaan enjin masih terpasang.
Ketua Polis Daerah Labuan Superintendan Muhamad Farid Ahmad berkata, siasatan awal mendapati, mangsa ditemui oleh orang awam yang baru selesai menjalankan aktiviti riadah di kawasan Bukit Kubong.
Katanya, orang awam curiga selepas melihat mangsa yang berpakaian sukan dalam keadaan enjin masih terpasang dan mangsa seperti tidak sedarkan diri di tempat pemandu.
“Pihak ambulan yang dihubungi tiba di lokasi kejadian kira-kira jam 6.30 petang. Hasil pemeriksaan mengesahkan mangsa sudah meninggal dunia oleh pegawai perubatan.
“Mayat mangsa kemudian dihantar ke hospital Labuan untuk proses bedah siasat,” katanya dalam kenyataan media yang dikeluarkan, hari ini.
Muhamad Farid berkata, hasil siasatan juga mendapati mangsa mempunyai sejarah penyakit darah tinggi.
“Setakat ini, kes diklasifikasikan sebagai mati mengejut (SDR),” katanya.
Tamat






与纳闽记者合摄-100x70.jpg)

