Lelaki Miliki Syabu Ditahan

Lahad Datu: Pasukan Polis Marin (PPM) berjaya menahan seorang lelaki yang disyaki pengedar dadah di perairan laut pelabuhan, di sini, kelmarin.

Dalam operasi jam 10.50 malam itu, suspek warga tempatan berusia 35 tahun ditahan bersama dua paket plastik berisi hablur jernih disyaki syabu.

Pegawai Pemerintah Markas Operasi PPM Lahad Datu, Superintendan Gan Ping Sin berkata, operasi dijalankan hasil maklumat risikan pasukannya.

Katanya, operasi yang dijalankan seorang pegawai bersama empat anggota itu berjaya menahan dan memeriksa sebuah bot pam yang berada dalam keadaan mencurigakan.

“Bot pam berkenaan yang dikendalikan suspek pada awalnya ditahan kerana melanggar perintah kawalan pergerakan diperketatkan bersasar (PKPDB).

“Bagaimanapun, hasil pemeriksaan badan, suspek menyerahkan dua paket kecil plastik lutsinar berisi hablur jernih disyaki dadah jenis syabu dan satu gulung kecil aluminium foil serta pemetik api,” katanya dalam kenyataan yang dikeluarkan, hari ini.


Gan berkata, suspek kemudiannya ditahan dan diserahkan kepada Pegawai Jabatan Siasatan Jenayah Narkotik (JSJN) IPD Lahad Datu untuk tindakan selanjutnya.

Katanya, suspek turut dirujuk ke bahagian Kecemasan Hospital Lahad Datu untuk saringan Covid-19 oleh pihak KKM.

“Anggaran nilai rampasan dalam tangkapan ini berjumlah RM5,022 berdasarkan harga pasaran semasa.

“Kes disiasat mengikut Seksyen 12 (2) Akta Dadah Merbahaya 1952 kerana memiliki 0.47 gram dadah jenis Methamphetamine dan boleh dihukum mengikut Seksyen 12(3) akta sama.

“Jika sabit kesalahan, pesalah boleh dikenakan hukuman denda maksimum RM100,000 atau penjara maksimum lima tahun atau kedua-duanya sekali,” katanya.

Gan berkata, suspek turut disiasat mengikut Akta 342 Pencegahan dan Kawalan Penyakit Berjangkit 1988.

Sementara itu, Gan menegaskan, PPM daerah ini menggalakkan masyarakat pesisir pantai dan maritim untuk menyalurkan sebarang maklumat untuk tindakan segera.

Katanya, setiap maklumat boleh disalurkan menerusi aplikasi whatsApp Pasukan Polis Marin Wilayah 4 Sabah di talian 0132831197 atau menghubungi Gerakan PPM Lahad Datu di talian 0139808084 bagi memastikan keselamatan dan kemakmuran setempat terjaga dan terkawal.

Tamat