Labuan: Polis Diraja Malaysia (PDRM) akan mengambil tindakan terhadap individu yang menyebarkan kenyataan berunsur fitnah menggunakan media sosial ataupun aplikasi Whatsapp.
Ketua Polis Daerah Labuan Superintendan Muhamad Farid Ahmad berkata, sesiapa yang melakukan kesalahan itu boleh ditahan mengikut Seksyen 500 Kanun Keseksaan dan Seksyen 233 Akta Komunikasi dan Multimedia (AKMM) 1998.
Katanya, ketika ini, polis sedang menyiasat mengenai berita palsu yang tular di media sosial selepas satu laporan diterima daripada seorang pengurus sebuah Pasaraya di sini.
“Ini berikutan pengadu menerima satu pesanan ringkas melalui Whatsapp pada 8 Oktober lalu yang menyatakan ada kluster baharu yang tercetus di sekitar pusat bandar Labuan.
”Pengadu merasa perkara berkenaan boleh memberi kesan butuk kepada perniagaan dan pelanggan lalu mengambil keputusan membuat laporan polis,” katanya dalam kenyataan media yang dikeluarkan, hari ini.
Farid berkata, tindakan menyebarkan perkara yang tidak pasti melalui media sosial membabitkan tempat-tempat yang tumpuan ramai boleh menimbulkan kegusaran kepada orang awam.
Katanya, pelaku boleh disiasat mengikut Seksyen 500 Kanun Keseksaan dan jika disabitkan kesalahan hendaklah dihukum penjara sehingga dua tahun, atau dengan denda, atau kedua-duanya.
“Bagi kesalahan mengikut Seksyen 233 AKMM 1998 pula, hukuman denda tidak melebihi RM50,000 atau hukuman penjara tidak lebih setahun atau kedua-duanya sekali.
“Polis menasihatkan orang awam supaya tidak berkongsi maklumat berkenaan dengan berita atau kenyataan yang tidak pasti.
“Perbuatan ini boleh menyebabkan mereka dikenakan tindakan undang-undang,” katanya.
Untuk rekod, kenyataan yang tular adalah seperti berikut “ada kluster baru, jgn jalan2 g savemore & sekitarnya, jgn jalan ke mari dlu, jgn pigi savemore, milimewa, klinik dr.tan, kluster baru labuan, kawasan merah ne, airport atm (maybank), milimewah, utama jaya, toto dpn terminal feri, BSN, restoran raff, jj nazar utama jaya dgn dekat bsn, pasar utc”.
Tamat




