
Kota Kinabalu: Seorang lelaki yang dipercayai menjadi dalang sindiket pengedaran dadah di sekitar Pekan Inanam, di sini, berjaya diberkas polis, Sabtu lalu.
Suspek warga asing berusia 26 tahun itu berjaya ditahan polis kira-kira jam 12 tengah hari ketika penugasan pemantauan Perintah Kawalan Pergerakan Bersyarat (PKPB) dilakukan di kawasan berkenaan.
Ketua Polis Daerah Kota Kinabalu, Asisten Komisioner Habibi Majinji berkata, ketika ditahan, polis menemui 65 keratan straw berisi dadah jenis syabu.
Katanya, berat keseluruhan dadah yang dirampas dianggarkan seberat 12.20 gram dengan nilai RM1,220 berdasarkan harga pasaran semasa.
“Semua dadah berkenaan ditemui hasil pemeriksaan badan dan ia disembunyikan di dalam poket seluar suspek.
“Modus operandi yang digunakan suspek adalah mendapatkan bekalan dadah dari sindiket sebelum dijual dalam kuantiti kecil,”katanya dalam kenyataan media yang dikeluarkan, hari ini.
Habibi berkata, kes disiasat mengikut Seksyen 39A(1) Akta Dadah Berbahaya 1952 yang memperuntukkan hukuman penjara tidak kurang dua tahun dan tidak lebih lima tahun.
Katanya, pesalah juga boleh dikenakan hukuman sebar tidak kurang tiga sebatan dan tidak melebihi sembilan sebatan.
“Suspek kini ditahan reman untuk membantu siasatan lanjut,” tegasnya.
Tamat





