Pekerja Kabel Elektrik Maut, Kenderaan Terbabas Sendiri.

Beaufort: Seorang pekerja pemasangan kabel elektrik maut selepas pacuan empat roda yang dinaikinya terbabas dalam kejadian di Kawasan Hutan Simpan Lumadan, di sini, semalam.

Dalam kejadian kira-kira jam 1 tengah hari itu, mangsa yang maut, Kusan Anumanthan Kumar, 46, dikatakan bersama beberapa rakannya menaiki Toyota Hilux yang dipandu majikannnya.

Kumpulan pekerja berkenaan difahamkan dalam perjalanan pulang selepas menjalankan kerja-kerja pembinaan pencawang serta pemasangan kabel elektrik di kawasan Hutan Simpan berkenaan.

Ketua Polis Daerah Beaufort Deputi Superintendan Azmir Abd Razak berkata, siasatan mendapati, lokasi kejadian adalah laluan di kawasan berbukit.

Katanya, kenderaan yang dipandu lelaki berusia 50 tahun itu dipercayai hilang kawalan sebelum mengundur ke belakang sebelum terbabas ke kanan jalan dan terbalik.

“Akibat daripada kejadian ini salah seorang daripada tujuh penumpang yang berada di bahagian trak belakang iaitu Kusan, tersepit dan mengalami kecederaan parah di bahagian leher.

“Mangsa kemudiannya disahkan meninggal dunia di lokasi kejadian oleh pegawai perubatan yang hadir di lokasi kejadian,” katanya dalam kenyataan media yang dikeluarkan, hari ini.

Azmir berkata, pemandu kenderaan bersama seorang penumpang hadapan dan enam orang lagi penumpang trak belakang hanya mengalami cedera ringan.

Katanya, pemandu kenderaan tidak disyaki mabuk namun sampel darah tetap diambil bagi ujian dadah dan alkohol.

“Hasil siasatan awal mendapati punca kemalangan adalah disebabkan oleh kecuaian pemandu kenderaan yang gagal mengawal pergerakan kenderaan dengan baik sehingga menyebabkan kemalangan.

“Tiada unsur-unsur khianat atau jenayah terkesan dalam kemalangan ini namun begitu siasatan lanjut masih diteruskan mengikut Seksyen 41(1) Akta Pengangkutan Jalan (APJ) 1987,” katanya.

Tamat