
Kota Kinabalu: Seorang wanita yang sebelum ini disahkan positif Covid-19 dipercayai membunuh diri dengan terjun bangunan Hospital Queen Elizabeth I (HQEI), malam tadi.
Dalam kejadian kira-kira jam 9.15 malam itu, wanita berusia 63 tahun terbabit dikatakan terjun dari tingkat lapan bangunan hospital berkenaan sebelum disedari pihak hospital yang kemudiannya memaklumkan kepada polis.
Ketua Polis Daerah Kota Kinabalu Asisten Komisioner Habibi Majinji berkata, pihaknya menerima makluman kejadian itu pada jam 9.30 malam.
Katanya, siasatan awal mendapati mangsa dimasukkan ke hospital berkenaan pada 13 Oktober lalu selepas disahkan positif Covid-19.
Katanya, selepas mendapatkan rawatan lanjut, mangsa disahkan bebas penyakit berkenaan dan dijadualkan untuk dikeluarkan dari HQEI hari ini.
“Mayat mangsa kini ditempatkan di Jabatan Forensik HQEI sementara menunggu siasatan lanjut punca mangsa membunuh diri.
“Pihak polis sedang menjalankan siasat bagi mengenalpasti punca mangsa terjun termasuk mencari saksi ditempat kejadian,” katanya ketika dihubungi, hari ini.

Habibi berkata, setakat ini kes diklasifikasikan sebagai kematian mengejut (SDR) san orang awam yang mempunyai maklumat berhubung mangsa diminta tampil membantu siasatan.
Tamat




