Nekad Terjun Laut, Cuba Elak Ditahan PPM

Kota Kinabalu: Dua lelaki yang menjalankan aktiviti mengebom ikan nekad terjun ke laut sebelum melarikan diri ke belukar berhampiran selepas cuba ditahan Pasukan Polis Marin (PPM), malam tadi.

Dalam kejadian kira-kira jam 10 malam itu, kedua-dua lelaki terbabit dikesan melakukan aktiviti pengeboman ikan di laut Tanjung Logong, Pulau Gaya, di sini.

Pegawai Pemerintah Markas Operasi PPM Kota Kinabalu, Asisten Superintendan Enturan Anak Lageh berkata, aktiviti itu berjaya dikesan sepasukan anggota termasuk pegawai yang menjalankan Ops Benteng Covid-19 di lokasi.

Katanya, sebaik berjaya mengesan sebuah bot pam dalam keadaan mencurigakan, pasukan PPM menghampiri dan mengarahkan mereka berhenti untuk pemeriksaan.

“Bagaimanapun, bot pam berkenaan bertindak memecut laju ke arah pesisir pantai Tanjung Logong, sebelum kelihatan dua lelaki terbabit terjun ke laut dan melarikan diri ke dalam belukar berdekatan pesisir pantai berkenaan.

“Pemeriksaan ke atas bot pam itu menemui beberapa unit peralatan yang lazimnya digunakan dalam aktiviti pengeboman ikan,” katanya dalam kenyataan, hari ini.

Menurutnya, antara barang rampasan ialah satu unit enjin pam, dua botol plastik minuman dipercayai berisi baja amonia.

“Turut ditemui lagi, dua unit detonator yang siap dipasang sumbu, topeng dan lima kilogram ikan pelbagai jenis.

“Semua rampasan dibawa ke Pangkalan Markas Operasi PPM Kota Kinabalu untuk tindakan lanjut,” katanya.

Enturan berkata, nilai keseluruhan rampasan yang berjumlah RM1,481 itu diserahkan kepada Jabatan Perikanan dan disiasat mengikut Seksyen Akta Perikanan 1985.

Justeru itu, katanya, PPM Wilayah Empat Sabah sentiasa mengalu-alukan maklumat daripada seluruh komuniti maritim untuk melaporkan sebarang aktiviti yang melanggar undang-undang.

“Sebarang maklumst boleh disalurkan secara terus ke talian 24 jam atau menggunakan aplikasi WhatsApp ke Pusat Komunikasi PPM Sabah di talian 0132831197,” tegasnya.

Tamat