PPM KUDAT RAMPAS 460 BUNGKUS ROKOK TANPA CUKAI

KUDAT: Pasukan Polis Marin (PPM) Kudat berjaya merampas 460 bungkus rokok tidak bercukai berhampiran kawasan terminal Jeti Kudat, di sini, kelmarin.

Dalam kejadian jam 8 malam itu, anggota PPm yang sedang menjalankan tugasan Op Landai Khas melihat kelibat dua lelaki sedang memunggah beberapa beg kanvas ke dalam sebuah bot dalam keadaan mencurigakan.

Bagaimanapun, sebaik menyedari kehadiran polis, kedua-dua lelaki terbabit terus melarikan diri menaiki bot dan meninggalkan beg yang belum sempat dipunggah masuk.

Pegawai Pemerintah PPM Kudat, Asisten Superintendan Rizauddin Selamat berkata, pemeriksaan di lokasi mendapati terdapat satu beg kanvas yang ditinggalkan kedua-dua lelaki berkenaan.

Katanya, hasil pemeriksaan lanjut mendapati beg kanvas berkenaan mengandungi 460 bungkus rokok pelbagai jenama yang dipercayai tidak bercukai.

“Semua rokok berkenaan dirampas dan jumlah keseluruhan rampasan dianggarkan bernilai RM3,040.

“Rampasan kemudiannya dibawa ke pangkalan Markas Operasi PPM Kudat untuk tindakan lanjut ,” katanya dalam kenyataan medianya g dikeluarkan, hari ini.

Rizauddin berkata, siasatan lanjut sedang dijalankan mengikut Seksyen 135(1)(d), Akta Kastam 1967.

Tamat