Lahad Datu: Kawasan Keselamatan Khas Pantai Timur Sabah (ESSCOM) berjaya mematahkan cubaan menyeludup 390 kotak rokok tanpa cukai di Kampung Puyut, di sini, semalam.
Dalam insiden jam 9.15 pagi itu, semua rokok yang disembunyikan di dalam sebuah kenderaan itu dirampas anggota agensi keselamatan yang bertugas dalam Op Cegah Pati (OCP) Daratan.
Operasi berkenaan dikawal selia oleh ESSCOM dalam usaha memutuskan dan mengekang penularan pandemik Covid-19.
Komander ESSCOM Datuk Ahmad Fuad Othman berkata, sepasukan anggota terdiri daripada anggota Rejimen Renjer Diraja (9RRD), Pasukan Gerakan Am (PGA) dan MPV yang sedang melakukan rondaan OCP Daratan di kawasan berkenaan bertembung dengan dua individu mencurigakan berlegar-legar di kawasan berkenaan.
Bagaimanapun katanya, sebaik pasukan keselamatan cuba menghampiri mereka, suspek terus melarikan diri menggunakan sebuah bot menuju ke kawasan bakau dan menghilangkan diri dalam kawasan gelap.
“Selepas pemeriksaan lanjut dilakukan terhadap sebuah kenderaan yang terletak tidak jauh daripada kawasan berkenaan, pasukan keselamatan menemui 250 kotak rokok seludup jenis premium dan 140 kotak rokok jenis LA yang disembunyikan dalam bonet kereta Proton Wira.
“Turut dirampas sebuah kenderaan Wira yang digunakan dalam kejadian berkenaan. Kita jangkakan semua rokok-rokok bernilai RM8,330 yang diseludup ini adalah untuk pasaran tempatan,” katanya dalam kenyataan, hari ini.
Beliau berkata, semua hasil rampasan di bawa ke Balai Polis Lahad Datu untuk tindakan lanjut dan kes akan disiasat di bawa Akta Kastam 1967.
“Saya merakamkan setinggi-tinggi penghargaan dan ucapan terima kasih kepada OCP Daratan sektor Timur dengan kerjasama semua pasukan keselamatan yang terbabit dalam operasi ini sehingga berjaya menggagalkan dan mematahkan penyeludupan ini.
“Ini adalah kejayaan pertama yang pernah dicatatkan OCP Daratan Timur ESSCOM sejak mula diaktifkan pada awal bulan April yang lalu,” katanya.
Ahmad Fuad berkata, ESSCOM akan terus kerjasama dengan semua agensi penguatkuasa dalam OCP Laut dan Daratan yang terdiri daripada Polis Diraja Malaysia (PDRM), Angkatan Tentera Malaysia (ATM) dan Agensi Penguatkuasaan Maritim Malaysia (APMM).
Katanya, pasukan itu akan sentiasa memperkemas rondaan dan memperketatkan penguatkuasaan serta kawalan keselamatan di sempadan perairan laut dan daratan di daerah ini bagi mengekang kemasukan PATI dan aktiviti penyeludupan rokok serta barangan terkawal dan bersubsidi lain daripada cuba diseludup ke negara jiran.
Dalam pada itu, Ahmad Fuad menyeru kepada semua penduduk khususnya komuniti maritim di kawasan pesisir pantai supaya sentiasa memberikan kerjasama dengan menjadi ‘mata dan telinga’ pasukan keselamatan dan melaporkan setiap aktiviti mencurigakan atau melanggar undang-undang negara kepada ESSCOM ditalian 089-863181 ataupun kepada balai-balai polis berhampiran untuk tindakan selanjutnya.
“Komuniti maritim juga diingatkan supaya jangan bersubahat atau bersekongkol dengan tekong-tekong laut dan penyeludup yang cuba melanggar undang-undang negara dengan menyeludup masuk rokok yang tidak dibayar cukai kastam melalui lalun yang tidak diwartakan.
“Tindakan tegas akan diambil sekiranya didapati ada dalam kalangan komuniti yang bersubahat dan melindungi penyeludup termasuk bersekongkol dengan tekong-tekong darat dan laut,” katanya.
Tamat







