
KOTA KINABALU: UMNO Sabah memberi sokongan penuh terhadap sebarang keputusan Presiden UMNO, Datuk Seri Dr. Ahmad Zahid Hamidi untuk terus memimpin parti dan mencari jalan penyelesaian disebalik pandemik Covid-19 yang melanda.
Pengarah Komunikasi UMNO Sabah, Ghazalie Ansing berkata, UMNO Sabah percaya Ahmad Zahid mempunyai kebijaksanaan dalam membuat keputusan demi untuk kepentingan ahli UMNO dan rakyat Malaysia umumnya.
Katanya, kekuatan UMNO selama ini bersandarkan kepada slogan ‘Bersatu, Bersetia, Berkhidmat’, dan justeru itu semangat perjuangan ini menjadi pegangan.
“Semangat ini sentiasa memberi dorongan kepada Presiden UMNO terus bersuara demi rakyat dan terus memimpin,” katanya dalam kenyataan media yang dikeluarkan, hari ini.
Sementara itu, dalam perbahasan Belanjawan 2021 baru-baru ini, Ahmad Zahid adalah antara pemimpin yang memberi kritikan terhadap Kerajaan Persekutuan dalam memastikan beberapa perubahan demi rakyat sebelum diluluskan.
Cadangan yang diberikan Presiden UMNO itu dilihat perlu dipertimbangkan sepenuhnya oleh Perdana Menteri, Tan Sri Muhyiddin Yassin sekiranya mahu Belanjawan 2021 itu diluluskan.
Ghazalie berkata, ketegasan yang ditunjukkan Zahid dalam memastikan rakyat dibela sepanjang pandemik Covid-19 perlu disokong sepenuhnya.
“Dalam berdepan pelbagai cabaran akibat pandemik Covid-19 ketika ini, ketegasan suara pemimpin seperti Presiden UMNO perlu disokong kerana penting demi memastikan penderitaan rakyat dapat dikurangkan.
“UMNO Sabah menyeru semua pemimpin UMNO di negeri-negeri lain turut berdiri teguh di belakang Presiden UMNO, kita telah melalui tempoh paling sukar selepas tewas pada 2018, kini kita kembali bangkit untuk meneruskan perjuangan rakyat,” katanya.
Tamat








