Lelaki Jatuh Sungai Dipercayai Lemas.


Beaufort: Seorang lelaki warga asing yang hilang selepas terjatuh dari sampan ketika cuba menyeberangi Sungai Padas, di Kampung Bingkul, di sini, semalam, dipercayai lemas.

Dalam kejadian jam 5 petang itu, mangsa berusia 18 tahun dikatakan dalam perjalanan pulang ke rumah selepas menemui rakannya yang tinggal di seberang Sungai Padas.

Ketua Polis Daerah Beaufort Deputi Superintendan Azmir Abd. Razak berkata, pihaknya menerima panggilan orang awam berhubung kejadian berkenaan pada jam 6.06 petang.

Katanya, siasatan awal mendapati, ketika mangsa sampai di tebing sungai berhampiran rumahnya, sampan yang dinaiki tiba-tiba dimasuki air dan menyebabkan mangsa menjerit cuba meminta tolong.

“Jeritan didengari dan dilihat oleh abang mangsa sendiri yang kemudian bergegas untuk membantu menyelamatkan mangsa.

“Bagaimanapun, sebaik sampai di tempat kejadian, abangnya mendapati mangsa sudah hilang dan dipercayai dibawa arus deras sungai,” katanya dalam kenyataan media yang dikeluarkan, hari ini.

Azmir berkata, maklumat yang diterima, mangsa memakai baju kemeja T  berwarna hitam dan seluar pendek jeans.

Katanya, keluarganya turut memaklumkan bahawa mangsa tidak pandai berenang dan ketika kejadian keadaan sungai deras dan melimpah ke tebing akibat hujan lebat.

“Operasi mencari dan menyelamat (SAR) yang dijalankan Jabatan Bomba Dan Penyelamat Malaysia (JBPM) serta pasukan polis terpaksa ditangguhkan pada jam 7.30 malam ekoran cuaca gelap dan hujan.

“Usaha pencarian diteruskan dan disambung pada jam 7 pagi tadi,” katanya.

Tamat