KOTA KINABALU: Seorang pegawai polis berusia 42 tahun yang berdepan dua pertuduhan rasuah mengaku tidak bersalah di Mahkamah Sesyen, di sini, hari ini.
Tertuduh Sarjan Nora Alun, dituduh mengambil rasuah sebagai dorongan tidak meneruskan siasatan membabitkan seorang lelaki yang ditangkap kerana melakukan kesalahan mencuri awal tahun ini.
Tertuduh yang bertugas di Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Kota Kinabalu membuat pengakuan itu selepas pertuduhan dibacakan dihadapan Hakim Abu Bakar Manat.
Mengikut pertuduhan pertama, tertuduh didakwa melakukan kesalahan pada 13 Februari lalu, di Restoran Taufik, Inanam, dengan bersetuju menerima wang tunai sebanyak RM3,000 daripada Mohd Saiful Jamil sebagai dorongan untuk tidak meneruskan siasatan terhadapnya.
Mohd Saiful sebelum itu ditahan kerana melakukan kesalahan mengikut Seksyen 380 Kanun Keseksaan.
Bagi pertuduhan kedua, tertuduh didakwa menerima suapan wang tunai berjumlah RM3,000 pada 17 Februari tahun ini, di Pejabat Bahagian Siasatan Jenayah, IPD Kota Kinabalu juga daripada Mohd Saiful untuk tujuan yang sama.
Kedua-dua kes di didakwa mengikut Seksyen 17 (a) Akta Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) 2009, dan tertuduh berdepan hukuman penjara sehingga 20 tahun serta denda tidak kurang lima kali nilai suapan atau RM10,000 atau mana-mana yang lebih tinggi.
Mahkamah turut membenarkan tertuduh diikat jamin sebanyak RM10,000 dengan deposit RM8,000 dan seorang penjamin tempatan.
Selain itu, tertuduh turut diarahkan melaporkan diri di pejabat SPRM Kota Kinabalu sekali dalam tempoh dua bulan dan menyerahkan pasport antarabangsa kepada pihak mahkamah.
Pendakwaan dikendalikan Pegawai Pendakwa SPRM Clementine Severinus manakala tertuduh diwakili peguam Zahir Shah dan sebutan semula kes pada 19 Januari depan.
Tamat





