
KOTA MARUDU: Seorang lelaki nyaris maut selepas tertembak mata sendiri ketika menggunakan senjata buatan sendiri jenis ginsuk dalam kejadian di hutan Kampung Pinatau, di sini, semalam.
Dalam kejadian jam 6.45 petang itu, mangsa berusia 25 tahun cedera ketika dikatakan cuba mengisi guli dan kepala batang mancis ke dalam senjata berkenaan.
Ketua Polis Daerah Kota Marudu, Superintendan Mohd Izaan Abdullah berkata, pihaknya menerima laporan berhubung kejadian itu dari wad kecemasan Hospital Kota Marudu pada jam 7.58 malam tadi.
Katanya, pihak hospital memaklumkan mereka menerima seorang pesakit lelaki yang cedera parah di bahagian muka akibat tertembak dengan senjata buatan sendiri.
“Hasil siasatan awal mendapati, mangsa sedang mengisi guli dan kepala batang mancis ke dalam ‘barrel’ ginsuk.
“Bagaimanapun, senjata berkenaan tiba-tiba meletup sehingga menyebabkan kecederaan parah di mata kanannya,” katanya dalam kenyataan media yang dikeluarkan, hari ini.
Mohd Izaan berkata, kejadian dilaporkan berlaku di kawasan hutan yang terletak sejauh empat jam perjalanan berjalan kaki.
Sementara itu, Mohd Izaan berkata, mangsa kini dihantar ke Hospital Queen Elizabeth, Kota Kinabalu untuk mendapatka rawatan lanjut.
Katanya, mangsa kini dilaporkan dalam keadaan stabil dan polis akan mengambil keterangannya dalam masa terdekat,” katanya.
“Kes disiasat mengikut Seksyen 37 Akta Senjata 1960,” katanya.
Tamat







