Mayat Lelaki Ditemui.

Kota Kinabalu: Mayat seorang lelaki ditemui dengan beberapa kesan luka di kawasan bangunan lama Jabatan Kerja Raya (JKR), di Jalan Istana, di sini, hari ini.

Mangsa yang belum dapat dikenalpasti itu ditemui kira-kira jam 6.30 pagi oleh orang awam yang melalui kawasan berkenaan untuk ke tempat kerja sebelum memaklumkan kepada polis.

Ketua Polis Daerah Kota Kinabalu, Asisten Komisioner Habibi Majinji berkata, sebaik menerima makluman awam menerusi talian MERS 999, sepasukan pegawai dan anggota dikerah ke lokasi kejadian.

Katanya, siasatan di lokasi kejadian mendapati, mayat lelaki terbabit terbaring dengan beberapa kesan kecederaan.

“Pemeriksaan awal terhadap badan mangsa mendapati terdapat enam kesan luka kecil di bahagian muka, satu di bahagian telinga kanan dan lebam di leher.

“Bagaimanapun, kecederaan yang dikesan di muka mangsa belum dipastikan sama ada disebabkan oleh senjata, gigitan atau cakaran haiwan liar memandang kawasan berkenaan mempunyai banyak monyet,” katanya ketika dihubungi, hari ini.

Habibi berkata, siasatan diteruskan termasuk mendapatkan bantuan daripada Unit Forensik Ibu Pejabat Kontijen (IPK) Sabah untuk membuat pemeriksaan di tempat kejadian.

“Kita juga menghubungi Unit Anjing Pengesan K9 untuk membantu siasatan lanjut selain menemubual saksi kejadian.

“Mayat mangsa juga akan menjalani proses bedah siasat selepas ujian saringan Covid-19,” katanya.

tamat