Lahad Datu: Polis daerah ini melancarkan operasi memberkas kumpulan peminta sedekah suku Pala’uh sepanjang Perintah Kawalan Pergerakan Pemulihan (PKPP) yang bermula, semalam.
Usaha itu bukan saja untuk menyekat penularan wabak Covid-19 tetapi juga bagi menyelesaikan pelbagai masalah sosial yang dikesan berlaku sebelum ini.
Kehadiran lebih 1,650 suku Pala’uh di enam lokasi dikenalpasti dikesan bukan saja mengemis dan menghidu gam tetapi juga terbabit dalam kegiatan jenayah seperti mencuri serta penagihan dadah.
Ketua Polis Daerah Lahad Datu Asisten Komisioner Rohan Shah Ahmad berkata, operasi jam 12 tengah hari semalam, menumpukan dua lokasi berasingan iaitu lampu isyarat Bandar Lahad Datu dan Bandar Sri Perdana.
Katanya, seramai sembilan wanita Pala’uh berusia 17 hingga 41 tahun berjaya ditahan selepas didapati melanggar prosedur operasi standard (SOP) PKPP.
“Disamping itu, polis turut menahan seramai 25 kanak-kanak atas faktor kebajikan dan keselamatan serta mengikut Seksyen 32 Akta Kanak-Kanak 2001 (Akta 611) iaitu tidak boleh digunakan untuk mengemis.
“Tumpuan operasi ini khusus kepada peminta sedekah yang mengganggu pengguna jalan raya selain tidak memakai pelitup muka dan berkumpul tanpa penjarakan fizikal ditetapkan,” katanya dalam kenyataan media yang dikeluarkan, hari ini.
Rohan berkata, penguatkuasaan SOP PKPP bagi Negeri Sabah hendaklah dipatuhi sepenuhnya bagi menyekat penularan Covid-19.
Katanya, masyarakat juga dinasihatkan supaya menghentikan perbuatan memberi derma dalam apa juga bentuk seperti wang, makanan dan pakaian kepada pengemis-pengemis.
Sementara itu, Rohan berkata tindakan penguatkuasaan ini dilaksanakan bersama agensi lain terdiri daripada Angkatan Tentera Malaysia (ATM), Kawasan Keselamatan Khas Pantai Timur Sabah (ESSCOM) dan Angkatan Pertahanan Awam Malaysia (APM).
Selain itu katanya, operasi turut dibantu Jabatan Sukarelawan Malaysia (RELA) dan Jabatan Pengangkutan Jalan (JPJ).
Tamat





