Tenom: “Kami akan terus berjuang bersama UPKO walaupun mantan ketua bahagian telah meninggalkan kami,” kata Ketua Penerangan UPKO Tenom Rubin Kamuah.
Menurutnya, dakwaan kononnya UPKO Tenom telah ranap selepas mantan ketua bahagian keluar hanyalah bermotifkan politik semata-mata.
Katanya, keadaan sebenarnya masih terdapat 90 peratus daripada Ahli Jawatan Kuasa (AJK) dan ahli UPKO Tenom yang masih kekal bersama-sama perjuangan parti.
“Dakwaan kemasukan beramai-ramai ahli UPKO ke parti STAR bersama mantan ketua bahagian adalah tidak benar.
“Bagi AJK bahagian ini, kami percaya perjuangan parti UPKO masih relevan untuk masa depan rakyat dan negeri Sabah secara keseluruhannya,” katanya ketika dihubungi, hari ini.
Rubin berkata, seluruh jentera dan ahli UPKO Tenom masih percaya akan perjuangan yang ikhlas dapat mengimbangi kerajaan yang ada ketika ini.
Katanya, sokongan kuat di peringkat akar umbi yang masih utuh membuktikan parti ini masih mempunyai kepercayaan penuh rakyat.
“Mendiang bapa saya, Kumuah Mantai adalah antara pengasas UPKO Tenom bersama mendiang Datuk Tingkalor Lampag, dan sejak itu, UPKO terus berdiri kukuh di daerah Tenom.
“Dan ia berterusan sehingga kini membuktikan perjuangan UPKO masih releven dengan sokongan padu daripada ahli bahagian ini,” katanya.
Tamat










