TAWAU: Cubaan sekumpulan pendatang asing tanpa izin (Pati) memasuki negara ini gagal selepas semua mereka berjaya ditahan pihak berkuasa di kawasan pesisir pantai di jalan Tawau Lama, dekat sini, kelmarin.
Dalam operasi jam 5.15 petang itu, seramai 22 pati yang berasal dari Indonesia terbabit berjaya ditahan hasil operasi Op Cegah Pati (OCP).
Komander Kawasan Keselamatan Khas Pantai Timur Sabah (ESSCOM) Datuk Ahmad Fuad Othman dalam kenyataannya berkata, operasi berkenaan dijalankan selepas mendapat maklumat awam.
Katanya, bertindak atas maklumat, sepasukan anggota keselamatan terus melaksanakan rondaan dan pemantauan Op Cegah Pati (OCP) di kawasan berkenaan.
“Hasil pemantauan, semua 22 pati terbabit dikesan sedang bersembunyi di kawasan semak di pesisir pantai Tawau Lama. Semua mereka disyaki baru tiba dari negara jiran dengan menaiki bot laju.
“Hasil pemeriksaan mendapati, semua pati terbabit terdiri daripada 11 lelaki, lapan wanita dan 3 kanak-kanak berusia lingkungan 6 hingga 60 tahun,” katanya.
Ahmad Fuad berkata, semua individu terbabit tidak mempunyai sebarang dokumen pengenalan diri yang sah.
“Semua Pati yang ditahan dibawa ke Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Tawau untuk tindakan lanjut dan kes akan disiasat mengikut Seksyen 6 (1) Akta Imigresen 1959/63”, katanya.
Sehubungan itu, Ahmad Fuad merakamkan penghargaan kepada semua agensi keselamatan yang terlibat dalam membantu menjayakan Op Cegah Pati (OCP) Daratan ESSCOM di daerah ini.
Katanya, antara yang terbabit dalam operasi adalah anggota Batalion 14 PGA dan 6 RRD Angkatan Tentera Malaysia (ATM).
“Kejayaan ini adalah hasil usaha dan kerjasama semua pihak yang terlibat terutamanya dalam menggagalkan taktik pendatang asing tanpa izin (PATI) yang menggunakan lorong-lorong tikus iaitu laluan yang tidak diwartakan untuk memasuki negara ini.
“ESSCOM dengan kerjasama semua agensi keselamatan di ESSZONE yang terdiri daripada Polis Diraja Malaysia (PDRM), ATM dan Agensi Penguatkuasaan Maritim Malaysia (APMM) akan terus memperketatkan kawalan keselamatan di sempadan perairan dan daratan di seluruh ESSZONE.
“Rondaan dan pemantauan akan diteruskan secara agresif melalui pelaksanaan OP Cegah Pati (OCP) dengan menggunakan dan mengadaptasikan konsep “show of presence” bagi mengawal dan mengekang kemasukan PATI,” tegasnya.
Selain itu katanya, ia juga salah satu usaha untuk memutuskan penularan rangkaian COVID-19 daripada masuk ke negara ini melalui PATI.
Tamat







