Kudat: Agensi Penguatkuasaan Maritim Malaysia (APMM) berjaya menahan seorang tekong dan 19 awak-awak warga asing selepas didapati menjalankan aktiviti menangkap ikan di perairan daerah ini, semalam.
Dalam kejadian jam 10.15 pagi itu, bot nelayan asing dipercayai dari negara Vietnam itu didapati masuk tanpa kebenaran untuk mengaut hasil laut di perairan negara ini.
Kegiatan nelayan asing itu berjaya dikesan pasukan APMM Kudat di kedudukan 34 batu nautika dari Tanjung Simpang Mengayau.
Pengarah Zon Maritim Kudat, Komander Maritim Boon Chin Chau berkata, hasil pemeriksaan mendapati bot nelayan asing itu membawa seramai 20 individu berusia lingkungan 18 hingga 51 tahun.
Katanya, semua mereka tidak mempunyai dokumen pengenalan diri yang sah dan disyaki warganegara Vietnam.
“Pemeriksaan juga menemukan peralatan menangkap ikan serta hasil tangkapan ikan pelbagai jenis.
“Bot bersama tekong dan awak-awak seterusnya di bawa ke Jeti Maritim Kudat untuk siasatan lanjut,” katanya di sini, hari ini.
Menurutnya, kes berkenaan disiasat mengikut Akta Perikanan 1985 iaitu menangkap ikan di perairan Malaysia tanpa kebenaran Pengarah Perikanan.
“Selain itu, kes disiasat mengikut Akta Imigresen 1959/63 kerana tidak memiliki dokumen pengenalan diri yang sah.
“Sehubungan itu, APMM akan terus komited dalam usaha membanteras kegiatan jenayah di laut.
“Sebarang salah laku jenayah dan kecemasan yang berlaku di laut boleh dilaporkan kepada Maritim Malaysia di talian 088-611858 (Pusat Operasi Kudat) dan talian MERS 999 yang beroperasi 24 jam,” katanya.
Tamat









