Kunjungan Hormat PERKESO Ke SAFA.

Kota Kinabalu: Setiausaha Agung Persatuan Bola Sepak Sabah (SAFA), Benedict Asmad, menerima kunjungan hormat daripada Pengarah Pertubuhan Keselamatan Sosial (PERKESO) Sabah, Dr Mohd Ali Hindia bersama rombongan di Pejabat SAFA, di sini, hari ini.

Dalam kunjungan selama sejam itu, pelbagai perkara berkaitan isu kebajikan dan skim yang ditawarkan PERKESO dibincangkan bersama.

Benedict ketika ditemui berkata, perbincangan itu diharap akan membawa lebih banyak kerjasama dalam perkara yang menyentuh kepentingan terutamanya membabitkan pemain dan kakitangan SAFA.

Katanya, pendedahan untuk lebih mengenali dan mengetahui fungsi serta peranan PERKESO dengan lebih lanjut akan membawa kebaikan kepada semua.

“Ia bukan saja memberi kesedaran mengenai fungsi PERKESO tetapi juga bantu menyebarluaskan maklumat berkaitan faedah yang bakal diterima.

“Selepas ini, kita akan menganjurkan sesi penerangan kepada kepada pemain dan kakitangan supaya lebih mengetahui mengenai peranan dan kepentingan PERKESO,” katanya.

Turut hadir Setiausaha Eksekutif SAFA, David Wisom dan pegawai PERKESO Kota Kinabalu, Abd Rahman Ramli.

Benedict berkata, PERKESO ternyata menyediakan pelbagai manfaat kepada pencarum sekiranya mereka berdepan masalah kesihatan pada masa akan datang.

Tamat