Cedera Dikapak Rakan Serumah

Penampang: Seorang wanita parah selepas diserang menggunakan senjata kapak dalam kejadian di sebuah taman perumahan, di sini, kelmarin.

Dalam kejadian kira-kira jam 11 pagi itu, mangsa berusia 24 tahun dikatakan diserang oleh seorang lagi wanita yang juga rakan serumahnya.

Ketua Polis Daerah Penampang, Deputi Superintendan Mohd Haris Ibrahim berkata, siasatan awal mendapati, mangsa tinggal di rumah milik seorang lagi wanita berusia 40 tahun.

Katanya, ketika kejadian berlaku pertengkaran mulut antara suspek yang berusia 33 tahun dengan mangsa.

“Suspek kemudian menyerang mangsa dengan senjata dipercayai sebilah kapak hingga terkena di bahagian kepala.

“Mangsa kemudiannya menghubungi wanita pemilik rumah berkenaan dan memaklumkan mengenai kejadian itu sebelum membuat laporan polis,” katanya ketika dihubungi, hari ini.

Mohd Haris berkata, hasil siasatan awal mendapati, suspek dikatakan tidak berpuas hati kerana pemilik rumah terbabit membenarkan mangsa tinggal serumah dengannya.

Katanya, bertindak atas maklumat itu, suspek berjaya ditahan Bahagian Siasatan Jenayah Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Penampang dalam serbuan di lokasi berhampiran tempat kejadian.

“Mangsa yang mengalami kecederaan di kepala telah menerima rawatan di wad kecemasan, Hospital Queen Elizabeth 1 (HQE I).

“Suspek kini ditahan untuk siasatan mengikut Seksyen 324 Kanun Keseksaan kerana dengan sengaja menyebabkan kecederaan menggunakan senjata atau lain-lain benda yang merbahaya,” katanya.

Tamat