
Penampang: Seorang kanak-kanak perempuan berusia 4 tahun maut selepas dirempuh sebuah pacuan empat roda dalam kejadian di pekan Dongongon, di sini, semalam.
Dalam kejadian jam 1.50 petang itu, mangsa dikatakan makan bersama ibunya di sebuah kedai makan berhampiran lokasi kejadian.
Bagaimanapun, mangsa dikatakan tanpa disedari meluru keluar untuk melintasi jalan sebelum dirempuh kenderaan yang dipandu lelaki berusia 40 tahun.
Ketua Polis Daerah Penampang Deputi Superintendan Mohd Haris Ibrahim berkata, pemandu kenderaan yang menyedari seperti terlanggar sesuatu objek bertindak memberhentikan kenderaannya untuk pemeriksaan.
Bagaimanapun, sebaik turun dari keretanya, pemandu terbabit mendapati seorang kanak-kanak perempuan terbaring di atas jalan raya.
“Pengadu terus bergegas membawa mangsa ke Hospital Queen Elizabeth 1 (QEH 1) untuk mendapatkan rawatan.
“Bagaimanapun, polis dimaklumkan oleh pihak hospital yang mengesahkan mangsa meninggal dunia pada jam 4.10 petang ketika mendapatkan rawatan di wad kecemasan QEH 1,” katanya dalam kenyataan media yang dikeluarkan, hari ini.
Mohd Haris berkata, pemandu tidak mengalami sebarang kecederaan dan kes disiasat mengikut Seksyen 41(1) Akta Pengangkutan Jalan 1987.
Sehubungan itu, Mohd Haris menasihati orang ramai supaya sentiasa mengawasi pergerakan anak-anak semasa berada di tempat awam.
Katanya, ia kerana risiko kemalangan boleh berlaku pada bila-bila masa.
Tamat



