
KOTA KINABALU: Armada Bersatu Sabah meminta polis mengambil tindakan terhadap Ketua Cabang Keadilan Pensiangan, Raymond Ahuar, kerana menyebarkan berita palsu.
Kenyataan media yang dikeluarkan ahli politik itu semalam, mendakwa “kanak-kanak dijual ibu sendiri”, terbukti tidak benar dan fitnah.
Naib Ketua Armada Bersatu Negeri, Rafie Robert berkata demikian bagimerujuk kepada kenyataan dikeluarkan Raymond Ahuar yang bertajuk ‘PDRM Berjaya Menyelamatkan Kanak-Kanak Dijual Ibu Sendiri, Bukti Kesengsaraan Rakyat Hari Ini’.
Katanya, dalam kenyataan berkenaan, Raymond mendakwa pihak Polis DiRaja Malaysia (PDRM) serta Jabatan Kebajikan Daerah Keningau berjaya menyelamatkan tiga beradik daripada dijual oleh ibu kandung mereka.
“Raymond mendakwa tiga beradik itu menjadi mangsa pemerdagangan manusia kerana keterdesakan hidup ibu kandung mereka sendiri.
“Raymond turut berkata dia dimaklumkan mereka dijual oleh ibu kandung sendiri akibat kesempitan hidup kerana tidak mempunyai wang setelah terputus pendapatan akibat pelaksanaan Perintah Kawalan Pergerakan (PKP),” katanya dalam kenyataan media yang dikeluarkan, hari ini.
Rafie berkata, kenyataan itu mendakwa anak sulung dijual oleh ibu mereka dan berjaya diselamatkan dekat sempadan Malaysia-Indonesia oleh PDRM dan Jabatan Kebajikan Keningau.
Katanya, Raymond turut mendakwa dimaklumkan si Ibu sudah menerima deposit untuk anak kedua namun pembeli masih belum tampat menuntut kanak-kanak berkenaan manakala anak ketiga masih menunggu pembeli.
“Raymond yang juga Ketua AMK Sabah dan Ahli MPP Keadilan juga menggunakan ‘kejadian’ yang didakwanya itu untuk kepentingan politik peribadinya untuk menghasut rakyat dengan mengatakan para Menteri dengan elaun puluhan dan ratusan ribu terus bermain politik tanpa melihat kesengsaraan rakyat.
“Selain itu beliau juga menuduh Kerajaan yang ada hari ini jelas gagal menjaga kebajikan rakyat.
“Tetapi Pesuruhjaya Polis Sabah Datuk Hazani Ghazali, menafikan ada kejadian seperti itu berlaku. Terbukti Raymond sudah menyebarkan berita palsu dan fitnah terhadap kerajaan,” katanya.
Rafie berkata, pengesahan daripada Hazani yang turut disokong oleh Ketua Polis Daerah Keningau, Shahrudin Mat Husain yang berkata, sebaliknya kes itu berkaitan sepasang suami isteri yang ditahan kerana kesalahan dadah.
Katanya, berita palsu yang disebarkan oleh Raymond tidak boleh dibiarkan atau diambil mudah oleh polis kerana beliau mencetuskan perasaan tidak senang hati di kalangan rakyat di negeri ini.
“Mengenai kesukaran hidup yang dihadapi oleh rakyat, Rafie berkata Kerajaan Negeri dan Persekutuan terus berusaha untuk membantu mereka yang terkesan oleh pelaksanaan PKP bagi mengekang penularan Covid-19.
“Usaha ini termasuklah mewujudkan Tabung Bencana Covid-19 Negeri di mana dana yang dikumpul akan digunakan untuk membantu rakyat di negeri ini.
“Menteri dan Pembantu Menteri, serta Ahli-Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Gabungan Rakyat Sabah (GRS) dan kakitangan awam negeri turut menyumbang ke dalam tabung ini melalui potongan pendapatan masing-masing,” katanya.
Sementara itu, Rafie turut mempersoalkan ADUN pembangkang yang terus mendiamkan diri, tidak mahu menyumbang ke dalam tabung ini untuk digunakan membantu rakyat yang terkesan di negeri ini.
“Itu ADUN yang beria-ria mahu menjadi Perdana Menteri pun hanya mendiamkan diri, tidak mahu menyumbang untuk kebajikan rakyat di negeri ini.
“Raymond sepatutnya menggunakan pengaruhnya untuk meminta wakil-wakli rakyat pembangkang untuk turut menyumbang ke dalam tabung tersebut, sekiranya dia benar-benar ikhlas dan ada rasa simpati terhadap rakyat yang terkesan, bukannya sibuk mereka berita palsu,” tegas Rafie.
Tamat








